KOTA KINABALU, SABAH — Menteri Luar Australia Penny Wong berkongsi pengalaman tempat kelahiran beliau pada zaman kanak-kanaknya di sini, dalam lawatan rasmi pertamanya sejak dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Australia.
Wong yang dilahirkan di Kota Kinabalu menceritakan kenangan beliau seperti pantai Tanjung Aru, pulau Mamutik, Gunung Kinabalu, jambatan Tamparuli, dan sungai yang sejuk di tanah tinggi Tambunan.
Beliau juga menceritakan kenangan rumah lamanya, di mana bapanya membeli ikan dan udang segar untuk masakan tengah hari, dan hidangan seperti ayam cendawan masakan neneknya.
Wong berkata lawatan kehadiran beliau juga sebagai tanda penghormatan kepada rakyat Sabah, khususnya ahli keluarganya.
“Perjalanan ke Kota Kinabalu ini seolah-olah balik kampung…
“Perjalanan ini adalah untuk menghormati negara kelahiran saya dan negara tempat saya berada.
“Saya berharap kedatangan saya ke sini dapat memberi impak kepada hubungan baik antara negara kelahiran saya dan Australia,” ketika berucap dalam satu majlis meraikan kedatangannya di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Menteri Australia kelahiran Sabah itu berkata kisahnya seperti kebanyakan rakyat Sabah dan Australia, menghubungkannya dengan penduduk pendatang di Australia.
“Apabila anda berjalan di jalanan di bandar Australia, anda melihat separuh daripada kami di sini hari ini,” katanya merujuk kepada kepelbagaian bangsa.
Dia berkata, dia berharap kisahnya dapat mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara ketika dia memulakan lawatan ke negara-negara dalam tugasnya merentasi beberapa benua.
Wong dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah pada 1968 hasil perkahwinan antara ibunya kelahiran Australia dan bapanya rakyat Malaysia.
Apabila ibu bapanya berpisah, beliau berpindah ke Australia Selatan bersama ibu dan adik lelakinya ketika berusia lapan tahun.
Neneknya Lai Fung Shim, berketurunan Hakka, telah menjadi sumber inspirasi bagi dirinya, dan digambarkan sebagai orang yang paling cekal pernah Wong kenali.
Nenek dan keluarganya menetap di Sandakan ketika Perang Dunia II tercetus, di mana kebanyakan ahli keluarganya terkorban akibat perang, meninggalkan Poh-Poh (neneknya) sendirian menjaga anak-anaknya dalam keadaan sukar.
Sementara itu, mengulas mengenai bapanya Francis Wong, beliau berkata bapanya hidup dalam kemiskinan dalam usia awalnya.
Beliau menyifatkan bapanya sebagai seorang pelajar cemerlang dan berkat kerajinannya membawa biasiswa Rancangan Colombo bagi menyambung pelajaran dalam jurusan seni bina di Universiti Adelaide, Australia.
“Peluang untuk sambung belajar mengubah hidupnya. Ini bermakna dia boleh keluar daripada kancah kemiskinan sejak kecil,” katanya sambil menambah Francis Wong akhirnya berpindah semula ke Kota Kinabalu bersama keluarganya.





