KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengusir seramai 750 pedatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dalam Program Pengusiran Tahanan PATI siri ke sembilan pada Selasa.
Kesemua PATI warganegara Filipina terbabit telah ditahan di Depot Imigresen Tawau, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu sejak tahun 2020.
Pengusiran diuruskan melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Menurut Ketua Pengarah JIM, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, pecahan tahanan yang diusir ialah seramai 638 lelaki, 81 perempuan, 30 orang kanak-kanak berumur 12 tahun kenbawah dan seorang kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah.
“Semua tahanan ini berumur dalam lingkungan umur antara satu (1) hingga 88 tahun…
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya.
Katajya bagi tempoh tahun 2022, JIM Sabah telah mengusir seramai 1,519 orang PATI pelbagai warganegara seluruh Sabah yang terdiri daripada tiga (3) jenis pengusiran iaitu pengusiran melalui udara, laut dan darat.
“Bermula 1 Januari 2022 sehingga 29 Ogos 2022, JIM Sabah telah berjaya melaksanakan program pengusiran sebanyak 67 kali dan dalam tempoh tersebut seramai 332 orang telah diusir melalui udara, 1,186 pengusiran melalui jalan laut dan 1 orang menggunakan jalan darat…
“Proses pengusiran tahanan di semua Depot Imigresen di Negeri Sabah tertangguh sebelum ini berikutan negara-negara asal tahanan memberikan alasan negara mereka sedang berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19,” jelasnya.
Tambahnya, kesemua tahanan yang berada di semua depot sejak tahun 2020 telah mendapat vaksin lengkap dan vaksin penggalak.
“Kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” beliau berkata.





