Lil J Jadikan Patah Hati Bahan Jenaka Menerusi ‘Senjittah’

Lil J Jadikan Patah Hati Bahan Jenaka Menerusi ‘Senjittah’

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Daripada terus meratapi kekecewaan akibat cinta tidak dihargai, artis hip-hop berbilang bahasa, Lil J memilih untuk mentertawakan pengalaman patah hati menerusi single terbaharunya, “Senjittah”.

Dilancarkan pada 21 September, lagu berkenaan mengetengahkan kisah pengkhianatan dan hubungan tidak sihat dalam pendekatan lebih santai, lucu serta penuh sindiran.

Senjittah” mengisahkan seorang lelaki yang merasakan segala usahanya tidak pernah mencukupi buat pasangan yang tidak setia, namun pengalaman itu diolah menjadi sebuah karya hip-hop rancak dan bertenaga berbanding lagu perpisahan bernada sedih.

“Patah hati ialah pengalaman yang dilalui ramai orang dan selalunya kita hanya mendengar tentang betapa peritnya pengalaman itu.

Saya mahu melihatnya daripada sudut yang berbeza. Ada kalanya, kita perlu menoleh ke belakang, mentertawakan apa yang berlaku, mengambil pengajaran daripadanya dan terus melangkah. Itulah idea utama di sebalik ‘Senjittah’,” kata Lil J.

Konsep lagu itu dibangunkan Lil J bersama DJ Biggie, manakala produksinya diterajui DJ Biggie dan DJ Freazz.

Menurut Lil J, karya tersebut turut diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya apabila pernah merasakan dirinya tidak cukup baik dalam sesebuah hubungan.

Di sebalik unsur humor yang diketengahkan, penyanyi itu berkata “Senjittah” membawa mesej mengenai kepentingan menghargai diri sendiri serta keberanian meninggalkan hubungan yang mula menjejaskan kebahagiaan.

“Kita perlu cukup menyayangi diri sendiri untuk mengetahui bila tiba masanya untuk pergi.

“Kita tidak seharusnya mengorbankan kebahagiaan, masa dan tenaga demi seseorang yang tidak menghargai kita,” katanya.

“Senjittah” turut menjadi single pertama daripada album Tamil sulung Lil J yang bakal dilancarkan, sekali gus menandakan usaha penyanyi itu kembali meneroka akar budayanya menerusi muzik.

Bahasa Tamil akan menjadi teras album berkenaan dengan beberapa karya turut menggabungkan bahasa Tamil dan Inggeris, selari dengan identiti Lil J sebagai artis berbilang bahasa.

Pada masa sama, Lil J menegaskan projek berkenaan tidak bermakna beliau akan meninggalkan muzik berbahasa Melayu dan Inggeris.

“Saya ingin menghasilkan lebih banyak muzik berbahasa Melayu dan bekerjasama dengan artis-artis Melayu pada masa hadapan. Saya tidak mahu mengehadkan diri kepada satu bahasa atau satu jenis muzik sahaja,” katanya.

Lil J kini memberi tumpuan untuk menyiapkan album berkenaan selain merancang pelancaran beberapa lagi single bagi mengembangkan katalog muzik berbilang bahasanya.

“Senjittah” kini boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman.