KOTA KINABALU: Tempoh tiga bulan akan datang menjadi fasa kritikal dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan BAS.MY atau ‘Bas Pink’ di bandar ini, dengan tumpuan diberikan kepada peningkatan jumlah penumpang, pengoptimuman laluan sedia ada dan usaha menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkata, penambahbaikan perkhidmatan Bas Pink menjadi keutamaan utamanya selepas mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengerusi LPKP Sabah.
“Tiga bulan akan datang amat penting. Kita mesti bekerja keras untuk meningkatkan jumlah penumpang, menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam, mengoptimumkan laluan sedia ada dan menyediakan asas bagi memperluaskan perkhidmatan ini ke bandar-bandar lain.
“Penambahbaikan perkhidmatan ‘Bas Pink’ adalah keutamaan utama saya selepas mengambil alih peranan sebagai Pengerusi LPKP Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Phoong bersama Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin mengagihkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada pengendali bas selain mengadakan lawatan serta pemeriksaan di KK Sentral yang merupakan hab utama perkhidmatan BAS.MY.
Phoong berkata, selepas pengagihan bendera itu, beliau dan Chan turut bertukar pandangan dengan pihak pengendali mengenai langkah yang boleh dilaksanakan untuk terus menambah baik serta mengoptimumkan sistem dan perkhidmatan bas berkenaan.
Beliau turut melakukan pemeriksaan sendiri terhadap keadaan di KK Sentral dan segera membangkitkan beberapa perkara yang memerlukan penambahbaikan kepada pegawai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang berada di lokasi.
Pada masa sama, beliau meminta pengendali bas bekerjasama rapat dengan DBKK bagi melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan.
Menurut Phoong, meskipun ramai orang awam yang ditemuinya menyatakan sokongan dan kepuasan terhadap perkhidmatan berkenaan, masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan.
“Walaupun ramai orang awam yang menyapa saya menyatakan sokongan dan kepuasan mereka terhadap perkhidmatan ini, saya percaya masih banyak lagi yang boleh ditambah baik.
“Kita mesti terus bergerak dan melakukan yang terbaik,” katanya.
Phoong berkata, beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tanggungjawab itu, khususnya dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam untuk rakyat Kota Kinabalu.






