Usaha Naik Taraf Matunggong Kepada Daerah Penuh Semakin Hampir Direalisasikan – Julita

Usaha Naik Taraf Matunggong Kepada Daerah Penuh Semakin Hampir Direalisasikan – Julita

0
SHARE

MATUNGGONG: Usaha menaik taraf Matunggong daripada daerah kecil kepada daerah penuh kini semakin hampir direalisasikan, dengan isu garis sempadan bersama Kota Marudu dan Kudat menjadi perkara utama yang perlu dimuktamadkan sebelum proses seterusnya dapat dilaksanakan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki berkata, usaha berkenaan kini berada pada peringkat akhir selepas melalui proses berkaitan mengikut tatacara dan keperluan pentadbiran ditetapkan.

“Usaha ini kini berada pada tahap yang sangat hampir kepada peringkat akhir. Sebaik sahaja persetujuan mengenai garis sempadan dicapai, kita boleh bergerak ke proses seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Kesyukuran Kaamatan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kandawayon di Matunggong, baru-baru ini.

Julita berkata, kedudukannya sebagai wakil rakyat dalam kerajaan turut memberi ruang untuk terus menggerakkan usaha berkenaan, namun menegaskan setiap proses perlu dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sebagai wakil rakyat yang berada dalam kerajaan, kita mempunyai ruang yang lebih dekat untuk menggerakkan perkara ini. Namun, semua proses perlu dilaksanakan mengikut tatacara dan keperluan pentadbiran yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PDM Kandawayon bersama 11 PDM lain di kawasan Matunggong akan diberi keutamaan dari segi pertimbangan permohonan pembangunan berdasarkan keperluan kawasan masing-masing.

Menurutnya, ia termasuk permohonan berkaitan kemudahan komuniti yang akan diteliti berdasarkan skala projek serta saluran peruntukan yang bersesuaian.

Sementara itu, dalam program sama, seramai 10 bekas ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Matunggong yang diketuai bekas Pengarah Strategik Negeri STAR, Dr Paul Porodong, mengemukakan permohonan untuk menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS).

Julita yang juga Setiausaha Agung PBS menyambut baik perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai tanda keyakinan terhadap perjuangan PBS serta usaha parti berkenaan untuk terus membawa suara dan kepentingan rakyat Matunggong.