KOTA KINABALU, SABAH – Seorang guru besar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sandakan hari ini kerana disyaki menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah kira-kira RM8,000.
Menurut sumber, suspek wanita berusia 60 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 11 pagi tadi ketika dipanggil untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan dan dijangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan, Sabah minggu ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.