KPSTI Rancang Pemerkasaan AI Untuk Pendidikan Sabah

KPSTI Rancang Pemerkasaan AI Untuk Pendidikan Sabah

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) merangka langkah strategik bagi memperkasa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pendidikan negeri selaras keperluan pembelajaran abad ke-21.

Menterinya, Datuk James Ratib berkata, perancangan itu dibincangkan selepas kunjungan hormat ke syarikat pembangunan AI, Aras Integrasi Sdn. Bhd. di Menara TM, pada Selasa, bagi meneroka peluang kolaborasi teknologi untuk pendidikan Sabah.

Menurutnya, antara inisiatif utama ialah pelaksanaan One-Staff / One-AI yang dicadang dimulakan di peringkat kementerian sebelum diperluaskan ke agensi lain bagi meningkatkan literasi AI dalam kalangan penjawat awam dan sektor pendidikan.

Katanya, pembangunan modul AI khusus untuk Institut Pendidikan Guru turut diberi keutamaan, selain potensi modul yang selari dengan silibus Kementerian Pendidikan Malaysia untuk dimanfaatkan sekolah bandar dan luar bandar.

Beliau menegaskan kepentingan penyelesaian AI luar talian bagi memastikan pelajar di kawasan pedalaman tidak tercicir, di samping pembangunan platform AI pelbagai bahasa termasuk bahasa dan dialek tempatan Sabah sebagai pendekatan inklusif.

“Kerajaan Negeri Sabah kekal komited memanfaatkan teknologi AI secara inklusif, beretika dan bertanggungjawab bagi memastikan akses pendidikan berkualiti serta bersedia menghadapi masa depan,” katanya.