TAMBUNAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas ditemui rentung dalam satu kejadian kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah serta tiga kenderaan di Kampung Patau, di sini, awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.08 pagi itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tambunan menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi sejauh 16 kilometer dan tiba pada jam 4.26 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, PPgB Mitchell Francis George berkata, kebakaran melibatkan dua buah rumah separuh kekal serta tiga buah kenderaan, dengan seorang mangsa kanak-kanak ditemui meninggal dunia di dalam sebuah bilik.
“Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemui rentung di dalam bilik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala seorang lagi mangsa wanita dewasa cedera ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mangsa kedua berusia 31 tahun mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Kebakaran tersebut mengakibatkan sebuah rumah satu tingkat separuh kekal berkeluasan 40 x 50 kaki persegi musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi rumah jenis sama terbakar kira-kira 90 peratus.
Tiga kenderaan iaitu Toyota Avanza, sebuah van dan Perodua Alza turut musnah 100 peratus dalam kebakaran itu.
Operasi pemadaman dikawal pada jam 4.40 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
Pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan, dengan sumber air daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran.
Turut terlibat dalam operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.






