SMJ 2.0 Pacu Lonjakan Ekonomi Inklusif Sabah – Ketua Menteri

SMJ 2.0 Pacu Lonjakan Ekonomi Inklusif Sabah – Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) sebagai fasa lonjakan baharu untuk memacu daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri, sekali gus memastikan kemakmuran dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, SMJ 2.0 bukan sekadar kesinambungan pelan terdahulu, sebaliknya pemangkin perubahan menyeluruh yang menuntut peningkatan keupayaan diri, termasuk perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“SMJ 2.0 adalah fasa lonjakan ke hadapan yang menekankan pembangunan ekonomi, pemerkasaan modal insan dan kesejahteraan rakyat. Perpaduan kekal sebagai kunci utama kepada kestabilan serta kemakmuran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2026 di Dataran Deasoka, di sini, pada Isnin.

Teks ucapan Ketua Menteri dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Rubin Balang.

Hajiji berkata kejayaan pelaksanaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada di landasan tepat, manakala SMJ 2.0 dirangka selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dan berupaya menangani cabaran masa depan secara lebih strategik.

Beliau turut menegaskan bahawa kepelbagaian budaya serta keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan asas kekuatan sosial Sabah yang perlu terus dipelihara.

“Karnival seperti ini mencerminkan keunikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, di mana setiap perayaan diraikan bersama dalam semangat saling menghormati dan muhibah,” katanya.

Selain itu, Hajiji mengiktiraf peranan penting masyarakat Cina sebagai rakan strategik pembangunan negeri, khususnya dalam sektor ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan pemeliharaan warisan budaya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif dan penglibatan aktif pertubuhan masyarakat Cina sebagai rakan pelaksana agenda pembangunan Sabah di bawah kerangka Sabah Maju Jaya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah yang menghimpunkan lebih 160 persatuan dari seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan atas sumbangan berterusan dalam menjayakan program kemasyarakatan.

Hajiji juga mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh masyarakat Cina di Sabah, sambil berharap sambutan perayaan itu terus menjadi pemangkin kepada perpaduan, keharmonian dan kemajuan bersama demi masa depan negeri yang lebih cemerlang.