SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas menemui dadah disyaki jenis syabu seberat 5.86 gram dalam satu operasi Op Tapis yang dijalankan di Kampung Sejati 1, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Semporna, Tan Hiap Wah berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 5.00 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) hasil pemeriksaan ke atas seorang lelaki yang bertindak mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bahan disyaki dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam bekas plastik milik suspek.
“Suspek berusia 30 tahun telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan sebatan tidak kurang daripada tiga kali, jika sabit kesalahan.
Hasil semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Dalam pada itu, Tan menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, serta memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menjauhi dadah dan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah ini sentiasa terpelihara.






