Jamawi Arah Kakitangan MAFFI Lebih Aktif di Lapangan, Fokus Bantu Petani

Jamawi Arah Kakitangan MAFFI Lebih Aktif di Lapangan, Fokus Bantu Petani

0
SHARE

TELUPID: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, menggesa semua kakitangan jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) supaya melaksanakan tugas di lapangan sekurang-kurangnya 60 peratus, bagi memastikan isu dan keperluan petani dapat dikenal pasti serta diselesaikan secara berkesan.

Beliau berkata pendekatan turun padang adalah penting bagi membolehkan pemantauan rapi terhadap masalah dihadapi petani, khususnya melibatkan fasiliti, input pertanian dan sistem sokongan yang memerlukan penambahbaikan segera.

Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama petani di Trusan Sapi, di sini, sambil mendengar keluhan serta cadangan mereka berkaitan sektor penanaman padi.

Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong.

“Dalam tempoh dua bulan, saya akan kembali ke kawasan ini untuk menilai kemajuan pembaikan dan penyelenggaraan fasiliti yang telah dikenal pasti sebagai keutamaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Koperasi Pembangunan Desa (KPD) supaya menempatkan pegawai secara lebih kerap di kawasan penanaman padi dan berinteraksi terus dengan petani.

Jamawi menegaskan komitmen kementerian untuk terus membela nasib petani dan memastikan semua kakitangan MAFFI memainkan peranan secara serius dalam menangani cabaran pertanian di seluruh negeri.

Beliau turut menyarankan petani menggunakan racun serangga yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian, memilih benih padi yang sesuai serta menambah baik pembinaan dan penyelenggaraan sistem perparitan agar lebih efisien, sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran.

Dalam lawatan sama, Jamawi turut mendengar taklimat daripada Pengarah Desa Padi Plantation Sdn Bhd, Datuk Yap Yun Fook, berkaitan pembangunan dan pengurusan kawasan penanaman padi.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Madiyem Layapan; Pengurus Besar KPD, Jailis Masarip, serta pegawai daripada MAFFI, JPS, KPD dan LPBS.