KUALA LUMPUR: Pasukan Tindakan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDERT-APM), Team Amal Kazuko telah menziarahi kawasan terjejas akibat banjir bandang di Padang, Sumatera Barat sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap mangsa bencana, baru-baru ini.
Dalam lawatan tersebut, Team Amal Kazuko menyampaikan sumbangan berbentuk bakul makanan kepada lebih 100 keluarga terkesan di kawasan terlibat, hasil infak dan sumbangan ikhlas masyarakat Malaysia.

Banjir bandang yang melanda kawasan berkenaan mengakibatkan kemusnahan besar apabila rumah penduduk rosak dan hanyut, tanah pertanian musnah serta bekalan air bersih terputus. Keadaan ini memberi kesan mendalam kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan sumber rezeki.
Kehadiran delegasi kemanusiaan dari Malaysia disambut dengan penuh rasa syukur oleh masyarakat setempat, sekali gus mencerminkan hubungan persaudaraan dan solidariti kemanusiaan antara rakyat dua negara serumpun.
Delegasi ini turut disertai barisan kepimpinan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terdiri daripada Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan IPPA APM, YS Kol. (PA) Effendy Ali; Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi IPPA APM, YS Kol. (PA) Mohd Adzhar Mujab; serta Pengarah APM Wilayah Persekutuan, Kol. (PA) Mohd Rosman Abdullah.
Selain itu, misi ini turut menerima sumbangan daripada Mubassyir Travel & Tours Sdn Bhd dan Federal Power Sdn Bhd.
Lawatan kemanusiaan ini diketuai oleh Datin Seri Intan Abdul Hamid.

Menurut Datin Seri Intan, kehadiran mereka adalah atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan bersama.
“Kami hadir bukan kerana kami mampu memberi segalanya, tetapi kerana kami tidak sanggup berpaling daripada penderitaan saudara kita.
“Apa yang kami sampaikan hanyalah sedikit infak ikhlas dan sokongan moral agar mereka tahu mereka tidak bersendirian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Dewan Pimpinan Daerah (DPD) Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) Agam, Fadli Rahmadi, menyifatkan kehadiran NGO dari Malaysia sebagai satu manifestasi semangat persaudaraan serantau yang amat dihargai oleh masyarakat setempat.
“Ini satu sokongan moral yang sangat bermakna buat penduduk. Semangat keprihatinan dari negeri jiran benar-benar menyentuh hati,” katanya.






