Anggota Bulan Sabit Merah Tambunan Diseru Kukuhkan Disiplin Diri dan Mandiri

Anggota Bulan Sabit Merah Tambunan Diseru Kukuhkan Disiplin Diri dan Mandiri

0
SHARE

TAMBUNAN: Anggota Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Tambunan diingatkan agar terus mengukuhkan daya tahan diri, disiplin dan mengamalkan sikap mandiri untuk terus berkhidmat kepada masyarakat umum.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Datuk Victor Peter Paut berkata, kesemua elemen itu sangat penting apabila menyertai sesuatu persatuan khidmat amal seperti BSMM dan pertubuhan sosial yang lain.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kem Belia BSMM peringkat daerah Tambunan di Taman Marawagas, Kuala Monsok di sini pada Isnin.

“Kem sebegini bukan sekadar tempat untuk berkumpul dan mengikuti modul aktiviti berpersatuan.

Gunakanlah segala kesempatan ini untuk belajar sebanyak mungkin sambil membina keyakinan diri, bekerjasama, dan menanamkan semangat jati diri masing-masing,” katanya.

Victor yang juga merupakan Ketua Bahagian PGRS Tambunan itu turut melahirkan harapan agar pengalaman para peserta di kem yang berlangsung selama 4 hari itu, akan terus dipraktikkan dan diamalkan selepas pulang semula menjalani kehidupan harian.

“Jadilah belia yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mempunyai hati yang besar untuk terus berkhidmat kepada masyarakat, “ujarnya lagi.

Pada majlis berkenaan, Victor mengumumkan sumbangan sejumlah RM2,000 bagi menambah sumbangan sebelumnya (RM1,000) bagi menjayakan program berkenaan.