KENINGAU: Penduduk Kampung Bariawa Laut gempar dengan penemuan seekor anak beruang madu yang dipercayai tersesat di kawasan kampung itu sebelum berjaya ditangkap penduduk setempat dan diselamatkan dalam satu operasi oleh pasukan bomba.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, kejadian dilaporkan sekitar jam 8.45 pagi kelmarin apabila haiwan liar berstatus terancam itu ditemui memanjat pokok kelapa di kampung berkenaan.
Sejurus menerima panggilan kecemasan, sepasukan enam anggota BBP Keningau yang diketuai Penyelia Operasi, PBK II Selverinus Sixtus Geoffrey dikerahkan ke lokasi bagi mengawal keadaan.
“Pujian harus diberikan kepada penduduk kampung yang bertindak pantas dan berani menangkap haiwan tersebut sebelum pihak kami tiba.
“Anggota bomba kemudiannya mengambil alih situasi, memindahkan anak beruang itu ke dalam sangkar khas dengan selamat sebelum dibawa pulang ke balai,” menurut kenyataan itu.
Pasukan bomba turut memaklumkan bahawa pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah telah dihubungi bagi tindakan susulan termasuk proses serahan dan pemuliharaan haiwan tersebut.
Operasi berkenaan berjaya diselesaikan sepenuhnya pada jam 9.10 pagi tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Kehadiran anak beruang madu itu yang merupakan spesies ikonik hutan tropika Sabah mencetuskan pelbagai tanda tanya, khususnya berhubung kemungkinan gangguan habitat semula jadi yang mendorong haiwan liar itu keluar dari kawasan hutan.






