KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 1.8 bilion panggilan penipuan dari 2017 hingga tahun lepas, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Beliau berkata dimaklumkan mengenai perkara itu semasa pertemuannya dengan Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) bersama SKMM dan beberapa pihak lain.
Beliau berkata, sejak 2018, sebanyak 300 juta mesej penipuan melalui SMS turut disekat.
“Sila berhati-hati pada musim perayaan ini (kerana) pasti ada pihak yang akan mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di sini Ahad (22 Jan).
Fahmi turut menasihati orang ramai yang menjadi mangsa penipuan supaya menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk membuat laporan supaya tindakan segera dapat diambil dan mengelak mereka daripada kehilangan wang.

Terdapat pelbagai jenis penipuan pada masa ini dan ia tidak mudah ditangani kerana apabila modus operandi diwujudkan, jenis penipuan baharu akan timbul, kata Fahmi.
“Pada musim perayaan ini, penipuan seperti ‘cleaner scam’ akan timbul di Facebook misalnya, jadi kita kena berhati-hati…
“Sekiranya anda mendapat sebarang tawaran sama ada untuk bekerja atau perkhidmatan, sila semak semula. Jika ia kedengaran terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, buat laporan polis dan hubungi 997 supaya kami boleh membantu,” katanya dipetik Bernama.
Mengenai penipuan pada aplikasi pemesejan Telegram, Fahmi berkata beliau akan cuba menghubungi pegawainya untuk membincangkan langkah pencegahan.