ADELAIDE, AUSTRALIA – Australia Selatan tamatkan awal perintah berkurung selepas memendekkan tempoh enam (6) hari perintah berkurung di negeri itu, dua hari lebih awal daripada tempoh ditetapkan kerajaan.
Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengesan dua lelaki yang juga chef di kedai piza, menjadi punca penyebaran COVID-19.
Ketua Menteri, Steven Marshall, berkata perintah berkurung di negeri yang dihuni lebih dua juta penduduk itu ditamatkan Sabtu ini selepas mengesan punca sebenar penularan.
Katanya, seorang lelaki yang disyaki dijangkiti virus itu melalui kotak makanan yang di bawa pulang pada awalnya mendakwa dia adalah pelanggan di kedai piza berkenaan tetapi sebenarnya bekerja kedai berkenaan.
“Salah seorang kontak rapat yang dikaitkan dengan kedai piza itu memberikan maklumat tidak benar kepada pasukan pengesanan kontak kami.
“Cerita mereka tidak habis. Kami terus desak mereka. Kami tahu mereka menipu.
“Namun, pihak berkuasa percaya perintah berkurung masih perlu diteruskan dan pelanggan kedai piza perlu tampil dan melakukan ujian pengesanan,” katanya.
Rabu lalu, semua sekolah, kedai, pub, kilang dan restoran pandu lalu diarahkan ditutup dan orang ramai diminta terus berada di rumah bagi menghalang pergerakan penduduk di seluruh negeri berkenaan.
Susulan itu, 10,000 orang menjalani ujian pengesanan dan didapati tidak berlaku jangkitan dalam komuniti dan kluster itu hanya mencatatkan 25 kes sehingga menyebabkan pihak berkuasa dituduh mengambil tindakan berlebihan dalam isu itu.
Sehubungan itu, penduduk di Adelaide dan seluruh negeri itu akan dibenarkan keluar rumah untuk melakukan aktiviti riadah dan beberapa larangan lain akan dilonggarkan mulai Sabtu ini.
– AFP