Tidak Menjaga ‘Penjarakan Fizikal’ Di BSN Tawau, 7 Individu Dikompaun RM1,000

Tidak Menjaga ‘Penjarakan Fizikal’ Di BSN Tawau, 7 Individu Dikompaun RM1,000

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Tujuh (7) individu dikompaun oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau selepas mereka didapati tidak menjaga ‘Penjarakan Fizikal’ (Social Distancing) di perkarangan Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Balung, Selasa baru-baru ini.

Kesemua individu terbabit dikompaun sebanyak satu ribu ringgit (RM1,000) setiap seorang di bawah Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G. Navindran berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sekiranya berada di tempat awam termasuk ketika berurusan di mana-mana badan perbankan atau ketika melakukan apa saja jenis urusan.

Katanya lagi, mematuhi SOP sebagaimana keputusan kerajaan sangat penting memandangkan pandemik COVID-19 kini telah berada dalam komuniti dan tidak diketahui sesiapa dikalangan orang ramai yang telah dijangkiti COVID-19.

Beliau turut berkata bahawa orang ramai yang terpaksa keluar dari rumah untuk urusan mengambil bantuan disalurkan kerajaan melalui bank BSN di mana-mana cawangan agar sentiasa menjaga SOP seperti sentiasa menjaga Penjarakan Fizikal, menggunakan pelitup separuh muka (facemask) dan sentiasa kerap basuh tangan atau menyediakan ‘hand sanitiser’.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan mana-mana pihak yang mempunyai keluarga dari kalangan warga emas agar mengambil inisiatif terbaik separti berhubung dengan pihak bank bagi mendapatkan temujanji terlebih dahulu agar tidak terdedah dengan orang ramai yang beratur panjang sekaligus boleh mengakibatkan jangkitan COVID-19.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Kawasan (PKPK) Tawau, Rahman Sampe ketika dihubungi berkata, pemantauan dari semasa ke semasa akan diteruskan bagi memastikan orang ramai sentiasa patuh SOP ditetapkan kerajaan.

Katanya, terdapat lapan pasukan pemantau telah dibentuk melibatkan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan agensi-agensi lain yang sentiasa memantau pergerakan masyarakat di sekitar kawasan Tawau.

Operasi tersebut diketuai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) Omar Musa dengan kerjasama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) cawangan Bandar Sri Indah (BSI).