PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran di seluruh negara bagi mengekang kesalahan membawa muatan berlebihan melibatkan kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, operasi yang dinamakan ‘Perang Lebih Muatan Kenderaan Perdagangan’ itu dilaksanakan serta-merta dan akan diteruskan sehingga 31 Disember 2025.
“Operasi ini meliputi lima zon utama, iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo, dengan setiap negeri menggerakkan empat pasukan penguat kuasa, menjadikan keseluruhannya 12 pasukan aktif di setiap zon,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya pada Selasa.
Anthony menjelaskan, operasi bersepadu itu akan dijalankan selama tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri pelaksanaan, dengan tumpuan utama di kawasan panas yang sering melibatkan kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan seperti batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, sawit dan kayu balak, khususnya di sektor kuari, pelabuhan dan perindustrian berat.
Beliau menegaskan, tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar had muatan ditetapkan di bawah syarat lesen pengangkutan.
“JPJ tidak akan bertolak ansur terhadap pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam hingga menyebabkan kerosakan jalan atau kemalangan,” tegasnya.
Menurut Anthony, operasi itu sebahagian daripada strategi penguatkuasaan holistik MOT dan JPJ bagi memperkukuh budaya pematuhan undang-undang serta meningkatkan keselamatan jalan raya.
“Penguatkuasaan ini bukan sekadar menghukum, tetapi untuk mendidik pengusaha supaya lebih bertanggungjawab dan tidak membahayakan pengguna jalan raya lain,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa strategi baharu itu melibatkan penggunaan teknologi pemantauan moden bagi memastikan penguatkuasaan dijalankan secara lebih berkesan, telus dan berintegriti selaras dengan mandat Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Anthony menegaskan bahawa syarikat pengangkutan yang berulang kali melanggar undang-undang jalan raya boleh berdepan tindakan tegas termasuk penggantungan atau pembatalan permit dan lesen pengendali.
“Saya telah mengarahkan JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mewujudkan satu kerangka pentadbiran baharu di mana pesalah berulang bukan sahaja akan disaman, tetapi lesen dan permit mereka boleh digantung atau dibatalkan,” katanya.
Katanya, langkah tegas itu diambil berikutan dapatan Operasi Khas Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) yang dijalankan antara 23 Jun hingga 31 Julai lalu terhadap 500 syarikat pengendali berisiko tinggi, yang mendapati 54.43 peratus gagal mematuhi peraturan.
“Peratusan ini menunjukkan tahap ketidakpatuhan yang serius dan sistemik, sekali gus menuntut keperluan untuk memperkukuh mekanisme penguatkuasaan secara menyeluruh,” jelasnya.
Anthony menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan keselamatan awam dan menyeru syarikat pengangkutan agar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap kenderaan yang mereka operasikan.






