PENDANG, KEDAH – Rakyat termasuk ahli politik diminta memberi ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun agar ia dapat dilakukan secara profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ini kerana pihaknya difahamkan SPR perlu melalui beberapa prosedur membabitkan pengurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Sebelum melaksanakan undi pada usia 18 tahun, SPR perlu pastikan dahulu dengan JPN alamat pengundi mengikut kad pengenalan, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen mana mereka akan mengundi.
“Ia tidak boleh sebarangan kerana SPR mahu elak berlaku kejadian seperti alamat di tempat lain tapi mengundi di tempat lain tidak sama seperti kad pengenalan,” katanya ketika ditemui selepas Program Malaysia Prihatin di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang, di sini, hari ini.
Memetik laporan BH Online, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh pada Khamis lalu dilaporkan berkata pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Susulan kenyataan itu, pelbagai pihak mempertikaikan perkara itu termasuk ada yang menganggap penangguhan pelaksanaan Undi 18 sebagai tidak munasabah.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata ketika isu undi 18 mula diperkatakan 2019, pada masa itu tempoh mengundi masih jauh dan SPR mungkin menjangkakan mereka ada masa yang cukup untuk melaksanakan perkara itu.

“Jadi sekarang ada dua tahun lagi…gagi kerajaan Perikatan Nasional (PN), Perdana Menteri sudah jelaskan kerajaan tidak anti undi 18…
“Kami dulu pembangkang, kami pun sokong undi 18, tapi dengan syarat pendaftaran mestilah secara automatik sebab kalau tidak jumlah individu layak mengundi tidak mendaftar akan bertambah sebab umur 21 pun empat juta tak mendaftar,” katanya.
Selain itu, beliau berkata , SPR juga perlu menunggu semua negeri meminda perlembagaan negeri masing-masing untuk menurunkan kelayakan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 18 tahun terlebih dahulu.
“Isu sekarang adakah semua kerajaan negeri telah meminda perlembagaan negeri masing-masing untuk turunkan calon ADUN daripada 21 ke 18 tahun…
“Inilah masalah yang mungkin dihadapi SPR, sekiranya mereka tidak selesai perkara-perkara ini mustahil untuk SPR laksanakan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun,” katanya.
Takiyuddin berkata rakyat diminta tidak terlalu cepat menuduh SPR atau kerajaan sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan berkenaan tanpa mengetahui kekangan yang dihadapi SPR.
Katanya, beliau sendiri diarahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan perjumpaan dengan SPR bagi mendapatkan maklumat dan apa sahaja masalah yang dihadapi SPR berhubung perkara itu.
“Saya akan jumpa untuk dapatkan maklumat dan kepastian sahaja, kerajaan tidak akan campur tangan kerana dalam perlembagaan Perkara 114 menyatakan bahawa pengerusi dna ahli-ahli SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan ia adalah suruhajaya bebas yang tidak terikat dengan kerajaan,” jelas beliau.