JAKARTA, INDONESIA – Seramai 14 orang tercedera akibat daripada satu kejadian letupan di luar pintu masuk Gereja Katedral di Makassar, Sulawesi Selatan hari ini yang dipercayai dilakukan oleh pengebom bunuh diri.
Setakat 12.30 tengah hari tadi (waktu Indonesia Barat), polis Indonesia belum mengesahkan jumlah mereka yang terbunuh dalam kejadian yang berlaku kira-kira 10.20 pagi tadi (waktu Indonesia) bahagian tengah itu.
Menurut Ketua Divisi Hubungan Masyarakat Polis Indonesia Argo Yuwono, dua suspek yang menunggang sebuah motosikal cuba memasuki kawasan gereja berkenaan sebelum ditahan pengawal keselamatan gereja.
“Pengawal keselamatan menahan mereka dan sejurus kemudian berlaku letupan. Polis masih menyelidik jumlah bahagian-bahagian tubuh yang hancur akibat letupan itu (jumlah yang terbunuh dalam kejadian berkenaan),” katanya dalam sidang media di Jakarta.
Letupan itu juga turut melibatkan beberapa pengguna jalan raya yang sedang melalui jalan berkenaan.





