Kes Rasuah RM2.8 Juta: Bung Moktar, Zizie Diperintah Bela Diri

Kes Rasuah RM2.8 Juta: Bung Moktar, Zizie Diperintah Bela Diri

0
SHARE
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 Dis 2022 yang lalu...(Sumber Foto: Bernama)

PUTRAJAYA, SELANGOR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad diperintah membela diri oleh Mahkamah Rayuan hari ini atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd, sembilan tahun lalu.

Memetik sumber Harian Metro, ini bermakna pasangan suami isteri ini sekali lagi perlu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan mereka pada 7 September 2023 lalu.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide dan Law Chin How selaku perayu manakala peguam, Datuk Seri K Kumaraendran dan M Athimulan masing-masing mewakili Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 46.

Pada 7 September tahun lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dibebaskan setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan pada 18 September tahun yang sama.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette, 47, di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Pertuduhan ketiga Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

Dalam pada itu Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara Zizie Izette didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) yang membawa hukuman yang sama.

Sebelum ini, pihak pendakwaan menyenaraikan tujuh alasan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan pasangan suami isteri itu selaku responden.

Pendakwaan berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menjalankan bidang kuasa semakan apabila membebaskan pasangan terbabit, selepas Mahkamah Sesyen memberi penilaian maksimum terhadap keterangan ketika kes pendakwaan.