Isu Sampah Diharap Selesai Dengan Pelantikan 2 Syarikat Konsesi Di Sandakan

Isu Sampah Diharap Selesai Dengan Pelantikan 2 Syarikat Konsesi Di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Konsesi Memungut Sampah adalah kemuncak kepada penyelesaian masalah sampah di DUA (2) Zon Sandakan.

Selama ini, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) berhadap dengan kesulitan mengurus pelupusan sampah sehingga terpaksa meminjam kenderaan dan jentera dari pihak berkuasa tempatan lain.

Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata lantikan DUA (2) syarikat konsesi bagi memungut dan pada masa sama menguruskan tapak pelupusan sampah (landfill) adalah solusi.

“Kita mengambil kriteria bahawa mereka mampu untuk melaksanakan tugas dengan baik mengira faktor kewangan, jentera dan peralatan.

“Nilai konsesi adalah dengan mengambil kira bahawa terdapatnya pembelian jentera-jentera baru yang mengaplikasi konsep kitaran sebelum sampai ke tapak pelupusan…

“Metrik tan setiap sampah yang akan dipungut akan berkurangan kerana ianya diproses atau dikitar sewaktu dalam perjalanan untuk dibuang ke tapak pelupusan.

“Sebelum ini, sampah yang tidak dipungut atau yang menggunung di tapak pelupusan akan mengalir ke parit, sungai dan seterusnya ke laut dan mencetus pencemaran selain beberapa masalah seperti laluan parit tersumbat, banjir, pembusukan dan penyakit,” Masidi berkata.

Upacara menandatangani MoU (Memorandum of Understanding) pada Jumaat adalah Syarikat Wijaya dan Syarikat TTK Maju Jaya.

Masidi berkata isu sebenar adalah sama ada mereka (konsesi) mahu menyelesaikan masalah atau membiarkan sahaja seperti sebelumnya.

“Cadangan pada masa akan datang ialah kontrak memungut sampah akan disepadukan dengan pengurusan pelupusan sampah termasuk kitaran semula agar pada masa akan datang tidak ada lagi masalah mencari tanah untuk dijadikan landfill atau tapak pelupusan sampah…

“Pemerolehan kontrak adalah untuk menyelesaikan masalah sampah dan bukannya sekadar untuk mendapatkan kontrak atau tender (menjana keuntungan),” beliau berkata lagi.