Jeffery Nor Ragui Kenyataan JANS Terhadap Pengguna Pam Air

Jeffery Nor Ragui Kenyataan JANS Terhadap Pengguna Pam Air

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tindakan yang diambil oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berhubung penggunaan pam air telah disifatkan sebagai terburu-buru oleh Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed.

Beliau melahirkan kebimbangan bahawa keputusan untuk mengawal penggunaan pam air sebelum tangki simpanan air tidak mengambil kira konteks yang lebih luas.

Jeffery mempersoalkan rasional di sebalik langkah itu yang dikatakan bertujuan mengurangkan peratusan Air Tidak Terhasil (NRW) kepada 40 peratus.

“Saya meragui kenyataan ini kerana penjelasan sebelum ini menunjukkan masalah kebocoran air dan kecurian di kawasan setinggan.

“Walaupun beberapa penempatan setinggan telah dirobohkan, kadar NRW tetap kekal pada 54 peratus. Adakah penggunaan pam air benar-benar penyumbang utama kepada peratusan NRW yang tinggi ini?” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jeffery, yang juga merupakan Ketua UMNO Putatan, menjelaskan bahawa beliau tidak akan menentang tindakan JANS jika bekalan air diurus dengan berkesan dan tanpa perlu melakukan pengagihan.

“Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada cabaran dalam bekalan air terawat kita juga perlu dipertimbangkan, seperti loji rawatan air yang telah mencapai had operasi dan memerlukan naik taraf, serta paip-paip yang semakin merosot dan mudah bocor.

“Isu-isu ini juga merupakan penyumbang utama kepada peratusan NRW yang tinggi, yang tidak boleh dipandang enteng,” tambahnya.

Mengenai pinjaman “soft loan” RM300 juta yang diberikan oleh kerajaan persekutuan, beliau menyatakan bahawa ia bertujuan untuk menangani isu bekalan air terawat dalam jangka pendek.

“Saya percaya bahawa tindakan untuk menyelesaikan masalah sumber air harus diberi keutamaan terlebih dahulu, dan kita perlu menilai hasilnya.

“Apabila kuantiti air terawat meningkat, barulah kita boleh mempertimbangkan kawasan yang dikelaskan mengikut kategori: baik, sederhana baik, dan buruk.

“Jika perlu diambil tindakan berhubung penggunaan pam air, saya juga menyedari cabaran yang dihadapi keluarga dalam menyediakan tangki, yang mana ada yang lebih mahal daripada pam itu sendiri.

“Kita perlu realistik tentang kemampuan pelbagai golongan rakyat di Sabah, kerana ramai masih tergolong dalam kategori kurang mampu,” ujarnya.

Oleh itu, Jeffery berharap notis mengenai operasi pemasangan pam air dapat ditangguhkan buat sementara waktu.

Beliau menekankan bahawa tindakan sedemikian harus dilaksanakan secara berperingkat, selepas kajian berdasarkan pengklasifikasian, sehingga keadaan bekalan air bersih dapat dipertingkatkan.

Menurut Jeffery, untuk memastikan keadilan kepada semua pengguna, tindakan terburu-buru tidak sesuai pada masa ini, memandangkan kualiti bekalan air bersih masih belum memuaskan.