Jelajah Iftar 2025: Kota Belud Destinasi Kedua
KOTA BELUD – Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah, meneruskan Jelajah Iftar 2025 ke destinasi kedua di Kota Belud hari ini. Program ini melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Tempasuk, Usukan, dan Kadamaian, bertujuan untuk menyantuni golongan yang memerlukan.
Majlis Iftar yang berlangsung di Dewan YB Datuk Fairuz Renddan menyaksikan pengagihan juadah iftar kepada golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, anak yatim piatu, serta golongan B40 di Kota Belud. Lebih 500 orang hadir ke majlis berbuka puasa pada petang ini.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha KTC dan UPPM Sabah untuk membantu golongan kurang berkemampuan di 25 kawasan Parlimen di seluruh Sabah.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan merangkap ADUN Pintasan, Datuk Fairuz, meluahkan kegembiraannya dalam mengadakan perbincangan dengan Datuk Dexter mengenai pembangunan di Pintasan, serta peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan.
Manakala Datuk Dexter berpendapat bahawa Kota Belud berpotensi dalam pembangunan pelbagai industri, seperti F&B dan hab digital, yang boleh merancakkan pertumbuhan ekonomi kawasan ini. Ini seterusnya akan membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran, serta menarik pihak swasta dan pelabur untuk membantu pembangunan kawasan ini.

Datuk Dexter juga berkongsi pengalaman mengenai “social entrepreneurship” yang beliau pelajari di Amerika Syarikat baru-baru ini. Beliau memuji penduduk Kota Belud yang rajin, serta sentiasa bersemangat untuk belajar dan dilatih.
KTC berbangga dengan kepimpinan Datuk Dexter Lau, seorang graduan dari Wharton Business School, sebuah institusi perniagaan terkemuka dunia. Kejayaan beliau memperoleh kelayakan berprestij ini bukan sahaja membuktikan kecemerlangan akademik dan kepimpinan beliau, tetapi juga mengangkat nama Malaysia Timur di persada antarabangsa dalam kalangan pemimpin korporat elit.
Jelajah Iftar 2025 di Kota Belud ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengarah UPPM Sabah, Datuk Haji Awang Kadin; Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton; OCPD Kota Belud, Supt Shahrudin Mat Husain; pemimpin masyarakat; pegawai kerajaan tempatan; eksekutif KTC; dan wakil UPPM.