
KOTA KINABALU, SABAH – Tempoh latihan yang singkat tidak menghalang Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut dalam Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa FCAS Sabah Ke-9 2024.
Pengurus Pasukan, Koperal Kenn Mohd Adzihni berkata pihaknya amat bersyukur kerana berjaya sekali lagi mempertahankan kejuaraan bagi kategori Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah dengan rekod baharu 03:40.29 berbanding catatan masa 03:49:89 pada musim lalu.
“Kejuaraan Piala TYT Sabah berjaya dipertahankan untuk klii kedua berturut-turut cuma sedikit sedih sebab tidak dapat pertahankan acara lain.
“Tetapi kita semua bersyukur kerana dengan tempoh latihan yang kurang berbanding tahun lalu, kami masih lagi ada tempat di sini,” ujarnya.
Berbanding tahun lalu, Kenn memaklumkan saingan amat sengit pada tahun ini ditambah dengan kurangnya kekuatan ahli untuk merangkul kejayaan dalam kategori lain.
“Saingan tahun ini lebih hebat berbanding tahun lalu, latihan kami tahun ini lebih kurang tiga minggu ke sebulan.
“Jumlah ahli pasukan kami dalam 34 orang dan itulah salah satu faktor juga pasal kita banyak kategori tetapi orang itu jugalah yang kayuh.
“Jadi di situ ada faktor penat tapi apa-apapun kami berharap tahun depan masih dijemput beraksi di sini,” jelasnya ketika ditemui media di Taman Awam Teluk Likas dekat sini, semalam.
Selain kategori Piala TYT Sabah, PDRM turut meraih kejayaan dalam beberapa kategori lain iaitu naib juara kategori Piala FCAS Sabah Dragon (Pasukan Campuran Malaysia dan Antarabangsa 800 Meter) serta tempat ketiga kategori Piala Kinabalu Dragon (200 Meter, Campuran Terbuka) dan Piala Kinabalu Dragon Wanita (200 Meter, 12 Orang).
Bagaimanapun, PDRM tewas kepada pasukan dari Negara Brunei Darussalam, Lawas Sarawak serta kelab tempatan sekaligus meletakkannya di tangga ketujuh daripada lapan pasukan yang berentap di kategori Piala Kinabalu Dragon (Lelaki 200 Meter Terbuka).
Pasukan Sang Saka Biru mula menyertai acara tahunan berkenaan sejak penganjuran kali ke-7 iaitu pada tahun 2022 namun, ketika itu ia belum mempunyai kelayakan bertanding dalam kategori utama dek penyertaan pertama kali.
Sebelum ini, pasukan PDRM juga beraksi dalam beberapa kejohanan sama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya di Narathiwat Thailand dan Indonesia. — JABATAN PENERANGAN SABAH





