Buvazoi Tavantang Bandaraya, Inanam Ajak Belia Derma Darah

Buvazoi Tavantang Bandaraya, Inanam Ajak Belia Derma Darah

0
SHARE
Mrk
MRK Bandaraya, Inanam dan Likas melawat pesakit di Pusat Dialisis KPJ Sabah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Buvazoi Tavantang atau Mr. Kaamatan (MRK) 2024 Bandaraya, Alvin Ajirin mengajak golongan belia untuk sama-sama menyokong kempen derma darah.

Alvin Ajirin, 22, berkata beliau bersyukur kerana dapat membantu mereka yang memerlukan seperti pesakit Talasemia yang mempunyai bilangan yang tinggi di Sabah.

“Saya sarankan generasi muda untuk tampil menyokong usaha murni ini kerana kita tahu satu pain darah dapat menyelamatkan nyawa tiga pesakit.

“Pada mulanya memang agak gementar apabila melihat jarum yang digunakan, tetapi sebenarnya setelah selesai saya merasa tenang dan berharap lebih ramai golongan muda dapat menjadi penderma,” katanya ketika ditemui melawat serta menyampaikan hadiah kepada para pesakit di Pusat Dialisis KPJ Sabah.

Turut menderma darah, MRK Inanam, Inlo Ansim, 23, yang bersyukur diberikan kerelaan hati untuk menyokong kempen bertemakan “Be the LifeLine” dengan hashtag BloodConnectsUs tersebut.

“Sebelumnya, saya memang takut dan tidak mahu menderma darah, tetapi syukur saya berjaya juga menderma darah buat kali pertama hari ini,” ujarnya.

Kedua-duanya ketika ditemui berasa lega dan gembira apabila layak menjadi penderma ketika program Kempen Menderma Darah Hospital Pakar KPJ yang dianjurkan secara kolaborasi bersama Tabung Darah Hospital Ratu Elizabeth II, pada Sabtu.

Sementara itu, Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Sabah, Mohamad Faizal Mohamed berkata objektif utama kempen tersebut adalah untuk membantu menambah darah di Tabung Darah Hospital Ratu Elizabeth II.

“Aktiviti ini juga untuk memberi galakan kepada yang belum pernah menderma darah, meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang kepentingan membantu dengan menderma darah kepada pesakit yang menghidap penyakit anemia, leukemia, hemapolia dan lain-lain.

“KPJ Sabah sememangnya berbesar hati dengan sokongan padu yang diterima daripada rakan dan penderma budiman yang menyumbang kepada kejayaan kempen yang luar biasa, tidak lupa juga dengan kerjasama SM Food & Beverages Sdn Bhd,” jelasnya.

Kempen tersebut merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat KPJ Sabah selaras dengan motto KPJ Healthcare Berhad iaitu “Care for Life”.

Kempen sehari itu berjaya mengumpul 50 pain darah dengan penderma terdiri daripada kakitangan KPJ Sabah, pesakit dan pelawat hospital, RELA, Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Sabah (DOSH), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Lintas serta penderma baru. — JABATAN PENERANGAN SABAH