KUALA LUMPUR – Atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang memenangi emas dalam acara lontar peluru F20 pada Temasya Paralimpik Tokyo 2020, hari ini telah dibatalkan kerana protes yang dilakukan oleh kem Ukraine.
Menurut sumber, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad (Malaysia), Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu (call room) sebelum pertandingan dimulakan.
Berdasarkan semakan di laman Paralimpik Tokyo, ketiga-tiga atlet terbabit mendapat status ‘DNS’ sekali gus menyebabkan mereka dianggap tidak layak beraksi sekalipun Ziyad sebelum itu memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter.
Protes terbabit menyebabkan apa yang dilakukan Ziyad termasuk memecahkan rekod dunia dalam acara tersebut tidak dikira.
Susulan itu, pingat emas menjadi milik Maksym Koval yang melakukan catatan 17.34 meter sekali gus menjadi rekod dunia sementara pingat perak dirangkul Oleksandr Yarovyi yang mencatat balingan 17.30.
Gangsa dimiliki atlet dari Greece, Efstratios Nikolaidis yang melakukan catatan 15.93m.
Terdahulu, sebelum protes dibuat oleh Kem Ukraine, Muhammad Ziyad telah mencatat rekod dunia dengan catatan 17.94 meter pada lontaran ketiganya.
Catatan lontaran itu juga mengatasi catatan atlet normal, Adi Aliffudin Hussin yang memegang rekod kebangsaan dengan 17.54 meter serta meleburkan rekod Sukan SEA (17.74m).