KUALA LUMPUR – UMNO Sabah akan terus berkerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meskipun kepimpinan pusat telah ‘PUTUS’ dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata pengumuman perpisahan oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadapi PRU ke-16 itu tidak melambangkan pertalian sedia ada di antara kedua parti itu di Sabah.
“Kita kena menghasilkan satu formula baru untuk kekal bersama dan memastikan bahawa perkara ini tidak akan berlaku di Sabah.
“Senarionya berbeza. Rakyat telah memberi kita mandat untuk menjadi kerajaan bagi membangun negeri Sabah yang jauh ketinggalan berbanding negeri lain…
“Ditambah pula ancaman COVID-19, banyak syarikat usahawan tempatan yang mengambil nafas dari industri pelancongan telah dilihat lingkup.
“Tanggungjawab UMNO Sabah dalam GRS adalah untuk membangun ekonomi sekaligus memperkasakan politik negeri Sabah,” jelas beliau hari ini.
Dari segi pucuk pimpinan pusat pula, beliau berkata ianya penting bagi semua ahli UMNO mengubah strategi untuk kembali memenangi hati rakyat sejurus menjadi parti dominan dalam PRU akan datang.
“Kita sedar UMNO sekarang dalam keadaan yang tidak begitu stabil ekoran kekalahan dalam PRU yang lalu secara langsung membawa perubahan kepada parti,” tambah beliau.
Bung telah menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, awal tadi.
Turus hadir adalah delegasi UMNO Sabah, Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan, Ketua Puteri UMNO Sabah, De Fadilah, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ketua Wanita UMNO Sabah, dan Ketua Ketua Bahagian UMNO Sabah.