Lima Pelajar Cemerlang Terima Anugerah TYT

Lima Pelajar Cemerlang Terima Anugerah TYT

0
SHARE
Tun juhar
Tun Juhar (enam dari kiri) bergambar kenangan bersama Zainudin (lima dari kiri) dan lima pelajar cemerlang ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai lima pelajar cemerlang menerima Anugerah Tuan Yang Terutama (TYT) daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Seri Kinabalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Zainudin Aman berkata, mereka yang terpilih mendapat keputusan CGPA 4.00 dan dijangka berlepas ke United Kingdom penghujung September ini untuk melanjutkan pengajian di Universiti Northumbria.

“Ini antara pendekatan bagi memastikan para pelajar dapat berkumpul sebagai satu keluarga, mudah untuk dipantau dan kita telah pun merangka bagaimana mereka boleh berada di sana dalam keadaan baik serta teratur.

“Secara keseluruhannya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan biasiswa sebanyak RM101 juta pada tahun ini untuk pelajar cemerlang di dalam ataupun luar negara.

“Kita telah menghantar seramai 80 pelajar yang kini masih dalam program pengajian termasuk lima penerima Anugerah TYT ini,” katanya semasa mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati para pelajar yang tidak berjaya dalam permohonan biasiswa kerajaan negeri untuk membuat rayuan melalui portal yang dibuka sepanjang tahun.

“Kita akan pertimbangkan semua pelajar yang layak khususnya mereka yang telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian.

“Kami akan memastikan mereka yang sebelum ini tercicir dibantu sebaiknya agar dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Terdahulu, Tun Juhar turut menerima kunjungan hormat daripada Yang Teramat Mulia Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah beserta rombongan yang bertujuan memperkenalkan barisan pengarah syarikat IREKA. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ