KKM Perlu Laksana Mekanisme Semak Dan Imbang Aplikasi MySejahtera

KKM Perlu Laksana Mekanisme Semak Dan Imbang Aplikasi MySejahtera

0
SHARE
Gambar Hiasan...

SHAH ALAM, SELANGOR – Bagi memastikan maklumat peribadi rakyat terjamin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu melaksanakan mekanisme semak dan imbang aplikasi MySejahtera.

Langkah itu penting sekiranya Kerajaan bercadang untuk menaik taraf dan mempelbagaikan fungsi aplikasi tersebut pada masa akan datang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan ianya perlu bagi memastikan keutuhan maklumat peribadi rakyat Malaysia sentiasa terjamin.

Ini kerana katanya, laporan pelantikan entiti persendirian, MySJ Sdn Bhd sebagai syarikat yang akan menguruskan applikasi yang pada asalnya dibangunkan untuk pengawasan penularan Covid-19 untuk fasa seterusnya adalah sesuatu yang membimbangkan.

“Malaysia akan memasuki fasa endemic mulai 1 April 2021. Kerajaan juga wajar memutuskan rasional penerusan pendaftaran melalui MySejahtera dan kewajipan pengaktifan MySJTrace.

“Rakyat Malaysia tidak boleh selamanya dibebani dengan mekanisme ‘surveillance’ yang secara langsung, mencerobohi privasi dalam pergerakan dan kehidupan seharian mereka.

“Tentukan lah tempoh masa, sebelum semua ini boleh kita hentikan, demi normalisasi kehidupan rakyat Malaysia sama seperti sebelum pandemik.

“Ketelusan dalam semua perkara ini adalah sangat penting dalam mengukuhkan keyakinan rakyat tentang plan kerajaan dalam melebarkan aplikasi MySejahtera dari fungsi asalnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, walaupun KKM telah memberikan penjelasan, namun ada beberapa kekeliruan yang wajar dijelaskan terutamanya tentang perlantikan MySJ Sdn Bhd melalui mekanisme rundingan terus, dan bukannya melalui tender terbuka.

Jelasnya, rakyat berhak mengetahui rasional dan motif serta kemampuan entiti yang terlibat.

“Janganlah kita lupa bahawa aplikasi ini dibangunkan pada awalnya sebagai suatu tanggungjawab sosial korporat untuk mendepani pandemik yang menular…

“Apa-apa tujuan lain selain pengawalan pandemik memerlukan Kerajaan melakukan libat urus yang komprehensif dengan semua pemegang taruh, terutamanya rakyat Malaysia,” katanya, lapor Sinar Harian.

Pada Ahad, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek tersebut tidak dikompromi.

Penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.

Data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.