KOTA KINABALU, SABAH – Mangsa-mangsa penipuan sebuah pusat “penyembuhan jantung” di KK Times Square yang kini telah ditutup dipanggil untuk bergabung mencari keadilan dengan bantuan Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO).
Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 68, berkata, dia telah rugi RM10,000 selepas isterinya menerima panggilan daripada syarikat berkenaan pada September 2023.
Katanya, mereka dijemput ke ceramah kesihatan di sebuah hotel terkemuka di sini di mana ejen menggunakan taktik menakut-nakutkan terhadap pasangan yang sihat tentang keadaan yang berpotensi mengancam nyawa jika mereka tidak menjalani rawatan itu.
“Mereka sangat meyakinkan dengan menggunakan seorang lelaki berusia 70 tahun sebagai penceramah yang mendakwa dia menjalani kehidupan terbaik selepas menerima rawatan mereka.
“Mereka berjaya membuatkan kami berfikir bahawa membelanjakan RM5,000 seorang untuk rawatan Enhanced External Counter Pulsation (EECP) dan terapi medan elektromagnet (BEMER) adalah lebih baik berbanding dimasukkan ke hospital swasta dalam jangka masa panjang.
“Namun ternyata orang yang menjalankan rawatan itu tidak pernah dilatih dalam bidang perubatan. Ketika menjalani rawatan saya sempat bertanya kepada salah seorang pekerja tentang latar belakangnya.
“Dia mengaku hanya bekerja sebagai seorang jurujual di pusat membeli-belah,” katanya.
Selepas empat sesi berbayar, Lim dan isterinya akhirnya memutuskan untuk membatalkan pelan rawatan mereka dan menuntut bayaran balik.
Selepas dinafikan pulangan wang, pasangan itu membuat laporan polis pada Mac tetapi sejak itu tidam membuat sebarang kemajuan dalam kes mereka.
KKM menutup pusat itu pada 12 Jun 2024 selepas ia didapati sebagai pusat jagaan ambulatori tidak berlesen. Ianya juga tidak mempunyai lesen perdagangan Dewan Bandaraya.
Bagaimanapun, pusat itu dengan gembira mengumumkan pembukaan cawangan di Sandakan dan Tawau pada April dan Mac tahun ini.
Koordinator MHO Sabah Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata KKM mungkin boleh menyaman pusat rawatan yang berpangkalan di Semenanjung itu tetapi lebih berminat mencari keadilan untuk mangsa-mangsa terlibat.
“Kita dapat melihat dengan jelas perniagaan itu mempunyai unsur penipuan atau niat untuk menipu pelanggannya.
“Sepatutnya, apabila Lim membuat laporan polis, mereka perlu memaklumkannya mengenai situasi itu tetapi pegawai penyiasat telah mengabaikannya dan sebaliknya mengarahkannya ke agensi lain.
“Laporan itu dibuat bukan hanya untuk memaklumkan polis tetapi untuk kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 atau 415, 409 Kanun Keseksaan dan juga AMLA, dan SOSMA jika ia didapati sebagai sindiket penipuan.
“Kita juga boleh membuat laporan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) terhadap pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
“Lim bukan satu-satunya mangsa. Jika dia mahu meneruskan saman sivil, bayaran peguam sahaja akan menelan kos RM10,000.
“Ini tidak berbaloi melainkan semua mangsa berkumpul bersama. Beramai-ramai kita boleh membuat laporan bersama dan memperjuangkan hak kita,” katanya.
Mangsa penipuan digesa menghubungi pejabat MHO Sabah di talian 088-273 166 atau talian hotline WhatsApp di 011-2905-0000.