KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, buku ‘Apa Yang Rakyat Sabah Harus Tahu’ menawarkan pemahaman yang bernilai mengenai sejarah politik Sabah daripada perspektif salah seorang wartawan terkemuka negeri ini, Allahyarham Datuk Mohd Fauzi Patel.
Beliau berkata, penulisan sejarah memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat melihat sesuatu peristiwa daripada pelbagai sudut serta menyediakan konteks yang diperlukan untuk mentafsir sesuatu pemerhatian.
“Saya percaya penulisan buku sejarah adalah suatu usaha yang amat bernilai kerana ia membolehkan kita melihat peristiwa daripada pelbagai perspektif dan menyediakan konteks yang diperlukan untuk mentafsir pemerhatian kita.
“Buku ini tepat pada masanya kerana menawarkan perspektif yang dituturkan oleh Allahyarham Datuk Mohd Fauzi Patel, seorang tokoh kewartawanan yang terkenal dalam sejarah Sabah,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai pada majlis pelancaran buku yang diadakan di Perpustakaan Negeri Sabah, di sini hari ini.
Menurut Hajiji, tajuk buku berkenaan dengan sendirinya mengajak rakyat berfikir secara kritis, sekali gus memberi isyarat bahawa masih banyak aspek sejarah politik Sabah yang belum difahami sepenuhnya oleh orang ramai.
“Ia menekankan keperluan untuk dokumentasi yang lebih menyeluruh serta wacana awam yang lebih meluas,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada James Sarda dan Danny Wong atas usaha menerbitkan buku tersebut, sambil menyatakan keyakinan bahawa karya itu akan menjadi rujukan penting sama ada sebagai bacaan tambahan mahupun perspektif alternatif mengenai sejarah politik Sabah.
Hajiji menambah, Sabah memerlukan lebih banyak karya seumpama itu, khususnya ketika isu-isu besar seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi perbincangan hangat.
“Masih banyak peristiwa lampau yang perlu difahami dengan lebih jelas, kerana kesan peristiwa-peristiwa itu masih dirasai hingga ke hari ini,” katanya.
Buku berkenaan memuatkan pandangan, pemerhatian dan catatan Allahyarham Fauzi Patel mengenai pelbagai isu serta kontroversi melibatkan Sabah sebelum dan selepas pembentukan Malaysia, yang sebahagiannya masih relevan dan terus dibincangkan sehingga kini.
Allahyarham Fauzi Patel merupakan wartawan sepenuh masa pertama Sabah pada tahun 1954 ketika negeri ini masih dikenali sebagai Borneo Utara British.
Sepanjang kerjayanya, beliau berkhidmat dengan beberapa organisasi media termasuk Sabah Times, North Borneo News, Kinabalu Times dan Kinabalu Sabah Times, selain menulis ruangan Ahad untuk Daily Express yang mengupas isu-isu berkaitan Sabah serta perkembangan nasional yang memberi kesan kepada negeri ini.






