KOTA BELUD: Pusat Pengkomposan Komuniti Kampung Kiau Nuluh yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) diyakini mampu memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi dan keusahawanan desa, khususnya dalam memperkasa sektor pertanian tempatan.
Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif di bawah gagasan “The Brain of Borneo” itu bukan sahaja membantu pengurusan sisa secara lestari, malah membuka peluang baharu kepada komuniti menjana pendapatan.
“Saya percaya usaha ini akan memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi dan keusahawanan desa di kampung ini. Saya juga berharap lebih ramai usahawan membangunkan potensi kampung masing-masing dan memperluaskan perusahaan ke tempat lain,” katanya ketika merasmikan pusat berkenaan di Kampung Kiau Nuluh, pada Sabtu.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, projek itu membuktikan sisa pemprosesan nanas yang sebelum ini dianggap bahan buangan boleh ditukar menjadi baja organik melalui kaedah pengkomposan, sekali gus mengurangkan masalah sisa dan menyokong kelangsungan pertanian.
“Inisiatif ini mencerminkan amalan ekonomi kitaran di peringkat akar umbi, di mana sumber tempatan dimanfaatkan secara optimum untuk memberi nilai tambah kepada komuniti,” katanya, sambil berharap pusat berkenaan diurus secara berterusan sebagai model komuniti lestari di Sabah.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, projek tersebut dilaksanakan menerusi Geran UniMADANI di bawah Program Pendayaan Komuniti, yang menekankan peranan universiti sebagai rakan pembangunan masyarakat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Komuniti), Prof Dr Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri.
“Universiti bukan sekadar pusat pengajian dan penyelidikan, malah turut berkongsi kepakaran dan teknologi bagi membantu komuniti meningkatkan kesejahteraan serta memperkukuh ekonomi setempat,” katanya.
Program UniMADANI di UMS diselaraskan oleh Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat dengan pelaksanaan projek diketuai Fakulti Kejuruteraan, memanfaatkan sisa organik daripada aktiviti pemprosesan nanas yang giat dijalankan di kampung berkenaan.






