RMK-12 Rapatkan Jurang Pembangunan Selaras Dengan Konsep ‘Keluarga Malaysia’ – Bung

RMK-12 Rapatkan Jurang Pembangunan Selaras Dengan Konsep ‘Keluarga Malaysia’ – Bung

0
SHARE
Datuk Seri Bung Moktar Radin...

KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub di Dewan Rakyat semalam sebagai komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.

Katanya melalui peruntukan lebih RM 9 bilion dimana RM4.66 bilion untuk Sabah dan RM4.47 bilion untuk Sarawak berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama selaras dengan semangat Keluarga Malaysia bagi mengurangkan kesenjangan pembangunan demi memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak dapat menikmati pembangunan saksama.

“Sebagai Ahli Parlimen dari Sabah sudah tentu saya mengaluk-alukan RMK-12 dibentangkan oleh Perdana Menteri yang secara jelas memfokus kepada Sabah dan Sarawak dari setiap sudut untuk merapatkan jurang pembangunan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya mengulas pembetangan tersebut kemarin .

Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan itu, bukan sahaja pembangunan dari segi infrastruktur asas, namun rakyat di negeri ini juga memerlukan pendapatan tinggi serta peluang pekerjaaan, menyertai program keusahawanan dan industri serta pelbagai lagi.

“Kita berharap pelaksanaan RMK-12 khususnya di Sabah dapat berjalan lancar tanpa sebarang masalah…

“Sebarang karenah birokrasi perlu dielakkan bagi memastikan RMK-12 dapat di realisasikan demi kesejehteraan rakyat,” katanya.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata dalam melaksanakan projek pembangunan di negeri ini, agensi pelaksana turut diingatkan untuk melihat Sabah dari perspektif yang berbeza dari negeri-negeri lain.

“Kita sudah mempunyai pelan yang baik di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk rakyat Sabah tetapi strategi implementasi ke akar umbi melalui agensi pelaksana perlu diperincikan lagi,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Bung turut mencadangkan agar peruntukan yang disediakan dapat diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diselaraskan oleh jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan untuk pelaksanaanya yang lebih memahami demografik rakyat Sabah dan keutamaan keperluan rakyat di lapangan.

Jika cadangan ini sukar untuk dilaksanakan, kita perlu ada jawatankuasa pemantauan bersama antara kerajaan Pusat dan negeri bagi memastikan pelan pelaksanaan infrastrutur yang dilaksanakan mencapai sasaran dan memenuhi aspirasi rakyat di negeri ini,” jelas Bung.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik usaha kerajaan untuk mentransformasi kawasan luar bandar dengan membina dan menarik taraf 2,800 km jalan berturap dimana antaranya Jalan Dudar Ke Taburan Ke Mendawang Kota Belud dengan kos sebanyak 101 juta.

Katanya ia bukan sahaja dapat menyediakan sistem perhubungan yang lebih baik dan selesa namun usaha ini dijangka dapat membantu merapatkan jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar.

“Walaupun dalam RMK-12 tidak disebut peruntukan untuk projek lebuh raya Pan Borneo khususnya di Sabah, Kerajaan Negeri turut meletakkan harapan agar cadangan yang dikemukakan sebelum ini iaitu agar projek dapat dilaksanakan secara inisiafif pembiayaan swasta (PFI)…

Projek lebuhraya Pan Borneo Sabah – Sarawak masih dalam proses pembinaan yang berterusan…

“Ianya harus diberikan pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan pusat bagi membantu mempercepatkan lagi proses tranformasi luar bandar di negeri ini sekali gus dapat melonjakkan taraf sosio-ekonomi rakyat,” katanya.

Berikutan dengan masalah bekalan air bersih yang semakin kritikal di negeri ini, Bung juga berharap kerajaan pusat dapat mengagihkan peruntukan yang mencukupi untuk meningkatkan akses kepada air bersih yang selamat kepada rakyat di Sabah.

Menurutnya peruntukan tersebut antaranya untuk membina infrastruktur baharu bagi perkhidmatan air seperti empangan, takungan air pinggiran sungai dan loji rawatan air sebagai mana yang terkandung dalam pelan induk untuk bekalan air di Sabah yang memerlukan kos tinggi.