Pelajar UiTM Bantah Kemasukan Pelajar Bukan Bumiputera

Pelajar UiTM Bantah Kemasukan Pelajar Bukan Bumiputera

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Persatuan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) membantah dengan keras mengenai cadangan membuka kemasukan pelajar bukan Bumiputera.

Dilaporkan cadangan tersebut dibuka untuk program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks. 

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM turut menggesa para pelajar untuk memakai pakaian hitam dalam kempen MahasiswaUiTMBantah dan menggunakan hastag di media sosial, lapor The Malaysian Insight.

MPP dalam satu kenyataan hari ini turut berkata bahawa, objektif penubuhan UiTM adalah untuk melindungi kedudukan istimewa Orang Melayu, Orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak.

Ini kata mereka, bagi memastikan pelajar Bumiputera berpendapatan rendah mendapat akses kepada pendidikan tinggi, memetik Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“MPP UiTM percaya universiti ini adalah institusi pendidikan Bumiputera yang dilindungi sehingga kini.

“Kami menggesa UiTM mengekalkan objektif asal penubuhannya, iaitu melindungi dan membangunkan pelajar Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kempen tersebut bertentangan dengan cadangan Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar yang menganggotai Lembaga Pengajian program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM IJN untuk membuka program itu secara sementara kepada bukan Bumiputera.

Tindakan tersebut adalah sebagai penyelesaian kepada masalah Majlis Perubatan Malaysia (MMC) tidak mengiktiraf laluan selari pembedahan kardiotoraks Malaysia dengan Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd).

Dr Raja Amin berkata, membuka program pembedahan kardiotoraks kepada bukan Bumiputera hanya untuk tempoh sementara, sementara menunggu penubuhan program serupa oleh Universiti Malaya.