KUALA LUMPUR: Toyota Hilux, Toyota Fortuner, Toyota Alphard dan Toyota Vellfire antara model kenderaan yang menjadi sasaran sindiket pencurian berikutan permintaan tinggi serta nilai pasaran dan potensi jualan semula yang menguntungkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, beberapa jenis kenderaan pacuan empat roda tertentu turut dikenal pasti menjadi sasaran berdasarkan permintaan pasaran.
Sindiket lazimnya memilih kenderaan berdasarkan nilai pasaran, permintaan serta potensi untuk dijual semula atau dileraikan bagi mendapatkan alat ganti.
“Namun, corak kecurian juga bergantung kepada permintaan pasaran, nilai kenderaan serta permintaan terhadap alat ganti tertentu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Bagaimanapun, berdasarkan statistik keseluruhan kecurian kenderaan bagi tempoh 2024 hingga Julai 2026, motosikal kekal sebagai kategori paling banyak dilaporkan hilang dengan 24,873 kes, diikuti kereta sebanyak 7,594 kes.
Kumar berkata, kecurian kenderaan lazimnya berlaku di kawasan kediaman, diikuti premis perniagaan seperti kedai dan pasar raya serta kawasan perindustrian.
Menurutnya, risiko kecurian lebih tinggi di lokasi yang kurang kawalan keselamatan, tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), kurang pencahayaan atau berada di kawasan terpencil.
Sehubungan itu, pemilik kenderaan dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika meletakkan kenderaan, khususnya di lokasi berisiko.
Dalam pada itu, Kumar berkata hasil risikan dan tangkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengenal pasti kewujudan rangkaian jenayah yang membabitkan pencuri, orang tengah, bengkel atau premis tertentu, pembeli alat ganti serta pihak yang terlibat dalam penyeludupan.
“Kegiatan ini bukan semata-mata membabitkan individu yang mencuri kenderaan.
“Dalam sesetengah kes, terdapat rantaian yang membabitkan pencuri, orang tengah, bengkel atau premis tertentu, pembeli alat ganti serta pihak yang terlibat dalam penyeludupan,” katanya.
Beliau berkata, setiap pihak mempunyai peranan masing-masing daripada peringkat kecurian dan peleraian sehingga penghantaran serta penjualan kenderaan atau komponennya.
Katanya, PDRM memberi tumpuan bukan sahaja kepada pencuri, malah keseluruhan rangkaian jenayah yang menyokong kegiatan berkenaan.






