KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadikan reformasi undang-undang dan institusi sebagai antara tawaran utama dalam Manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh tadbir urus dan keadilan di Sabah.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, agenda reformasi ini telah dirintis sejak tahun 2021 dan akan diperkukuh bermula 2026 melalui pelaksanaan pelbagai dasar serta penggubalan undang-undang baharu.
“Sejak GRS menerajui pentadbiran negeri pada November 2020, sebanyak 51 enakmen negeri telah digubal atau dipinda, termasuk Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023, Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024, dan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.
“Antara pencapaian penting ialah penggubalan Enakmen Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023, yang memperkenalkan peruntukan anti-lompat parti bagi mengukuhkan kestabilan politik negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam aspek reformasi institusi, jelas Armizan, GRS turut memperkasa peranan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah (JPBNS) untuk mengendalikan semua kes jenayah di bawah undang-undang negeri.
“Pemerkasaan ini dilaksanakan selepas Peguam Negara Malaysia melantik Peguam Besar Negeri Sabah dan pegawai undang-undangnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 6 April 2023.
“Langkah tersebut turut membawa kepada penubuhan Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan JPBNS, yang kini berperanan memberi kebenaran kepada mana-mana agensi sebelum memulakan tindakan pendakwaan terhadap kesalahan di bawah undang-undang negeri seperti Ordinan Tanah, Enakmen Perhutanan dan Enakmen Perlindungan Alam,” jelasnya.
Sebagai langkah seterusnya, tegas Armizan, GRS menubuhkan Majlis Penasihat Pembaharuan Undang-Undang Sabah (SLRAC) pada 31 Julai 2025, sebuah badan bebas yang berfungsi menyemak dan mencadangkan pembaharuan undang-undang negeri.
“SLRAC dipengerusikan oleh Tan Sri David Wong Dak Wah, mantan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, bersama ahli panel berpengalaman termasuk Datuk Daniel Tan Jwee Peng, Dr. David Fung Yin Kee, Datuk John Sikayun, Datuk Roger Chin Ken Fong dan Puan Shakinur Ain Karama,” katanya.
Datuk Armizan menegaskan bahawa pelaksanaan reformasi undang-undang dan institusi ini membuktikan kesungguhan GRS untuk bukan sekadar berjanji, tetapi melaksanakan perubahan secara berani dan strategik demi masa depan pentadbiran Sabah yang lebih telus, adil dan progresif.






