PUTRAJAYA – Pemakaian pelitup muka (facemask) tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang berkuat kuasa serta-merta, demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
KKM melaluli menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun individu berisiko tinggi dan bergejala digalakkan untuk memakai pelitup muka ketika menaiki kapal terbang.
KKM turut menggalakkan individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema serta berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu hamil serta mereka yang mengembara bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak untuk memakai pelitup muka dalam kapal terbang.
“Keputusan yang dibuat ini adalah menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan selepas mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang seperti pengudaraan yang baik dalam kabin dan penggunaan penapis melalui tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara…
“Selain itu KKM turut mengambil kira susunan tempat duduk ke hadapan, kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang serta beban kes COVID-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini,” kata Khairy dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Khairy pada 7 September lalu mengumumkan kelonggaran terhadap keperluan pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan memutuskan bahawa pemakaian pelitup muka di dalam bangunan adalah atas pilihan.
Dalam pada itu Khairy berkata, kelonggaran yang diumumkan itu juga selaras dengan syor kesihatan daripada negara seperti Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia, New Zealand dan Singapura.





