PENGUNJUNG KE SABAH DARI SEMENANJUNG MALAYSIA KINI TIDAK PERLU SARINGAN COVID-19

PENGUNJUNG KE SABAH DARI SEMENANJUNG MALAYSIA KINI TIDAK PERLU SARINGAN COVID-19

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Individu atau pengunjung dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak yang melakukan rentas negeri bagi lawatan sosial ke Sabah tidak perlu lagi menjalani ujian saringan COVID-19 bermula hari ini (1 Dis).

Sebelum ini, Kerajaan negeri ini mewajibkan ujian saringan berkenaan kepada individu atau pengunjung dari Semenanjung dan Sarawak yang hendak memasuki Sabah.

Walau bagaimanapun, kelonggaran itu hanya diberikan kepada individu yang sudah lengkap vaksin dan tanggungan mereka yang belum layak menerima vaksin, khususnya kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun.

Bagi individu yang belum menerima vaksin atau belum menerima vaksin lengkap perlu menjalani ujian saringan COVID-19, ini merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dikeluarkan malam tadi.

Pada masa yang sama, Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata pengunjung ke Sabah yang telah lengkap vaksin hanya perlu mengisi borang deklarasi kesihatan atau e-Health di laman sesawang http://sm.jknsabah.gov.my/HDF/hdf.php sebelum memasuki sabah.

Pengunjung yang sudah lengkap vaksin tidak perlu lagi menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas ke Sabah. Mereka hanya perlu menunjukkan bukti sudah menerima dos lengkap vaksin ketika penilaian risiko apabila tiba di pintu masuk Sabah…

“Bagi yang belum lengkap vaksin atau belum divaksin, mereka masih perlu menjalani ujian saringan dalam tempoh tiga (3) hari sebelum berlepas dan menunjukkan keputusan negatif COVID-19 yang disagkan oleh klinik atau makmal bertauliah yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka juga perlu mengisi borang deklarasi eHealth,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Seri Panglima Masidi Manjun…

Tambah Masidi, bagi pelawat antarabangsa yang tiba di pintu masuk negeri ini, SOP yang telah dikuatkuasakan sebelum ini adalah tidak berubah.

“Setiap inidvidu dan tanggungan pelawat antarabangsa yang baru tiba diwajibkan menjalani saringan COVID-19, selain kuarantin dalam tempoh seminggu (7 hari) bagi yang sudah lengkap vaksin dan kuarantin selama 10 hari bagi pelawat antarabangsa yang belum lengkap vaksin,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor turut mengumumukan keputusan Kerajaan Negeri melonggarkan syarat kemasukan individu atau pengunjung dari Semenanjung dan Sarawak yang telah lengkap vaksin ke Sabah bermula hari ini (1 Dis) pada Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hajiji (dua dari kiri) bersama rombongan dari Sabah melawat gerai negeri sendiri dalam MATTA Fair yang diadakan di PWTC Kuala Lumpur baru-baru ini…

Menurutnya, langkah itu selaras dengan usaha Kerajaan Negeri membuka semula sektor pelancongan domestik sebagai sebahagian usaha untuk memulihkan ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19.