KUALA LUMPUR – Semakin minat berlakon membuatkan penyanyi Amira Othman, 24, sanggup ambil inisiatif mengikuti kelas lakonan dengan mendapatkan bimbingan lakonan daripada pelakon Que Haidar.
Menurut laporan Harian Metro, Amira atau Nadia Amira Othman mengikuti kelas lakonan itu sebagai persedian untuk kemunculan dalam drama Red Velvet arahan Michael Ang.
Katanya, walaupun hanya melakonkan watak ‘cameo’ dia berasakan ada keperluan juga untuk mengikuti kelas lakonan.
Apatah lagi kelas lakonan itu di bawah bimbingan pelakon sudah ada pengalaman dan berkaliber seperti Que Haidar dan Amira tidak mahu menolak peluang keemasan itu.
Pernah membintangi drama adaptasi novel Abang Bomba I Love You sebagai watak utama, Amira mengakui masih banyak kelemahan sebagai pelakon perlu diperbaiki.
“Saya akui memang perlu ikuti kelas lakonan untuk menjadi pelakon yang baik. Saya mahu perjalanan karier sebagi penyanyi dan pelakon seiring, tetapi nyanyian tetap keutamaan,” katanya.
Berkongsi pengalamannya belajar dengan Que, anak jati Johor ini akui sangat selesa dan tiada masalah.
“Que seorang guru yang teliti. Dia banyak memberi bimbingan mengenai bermain emosi dalam watak.
“Kini saya makin memahami teknik berlakon yang baik dan berkesan. Apa-apa pun, tidak mudah menjadi seorang pelakon,” katanya.
Dikenali melalui lagu Hati Hati ciptaan Faizul Sany, Hael dan Mike Chan, Amira bakal merakamkan single baru ciptaan Hael Husaini.
Dia akui seorang yang cerewet dalam pemilihan sesuatu lagu yang mahu dirakam kerana utamakan kualiti.
“Terus terang, saya melihat kejayaan sesuatu lagu itu untuk menambat hati pendengar bergantung pada kekuatan melodi dan lirik.
“Oleh itu, saya jadi sangat cerewet. Apatah lagi dua single saya sebelum ini, Hati Hati dan Jaga Jaga berjaya memikat pendengar.
“Jadi, saya mahu kesinambungan itu berterusan untuk lagu seterusnya. Sebab itu saya yakin usah terburu-buru,” katanya.
Amira berkata, dia terus menyukai lagu ciptaan Hael sebaik saja mendengar melodi dan liriknya.
Katanya, dia meminta lagu itu daripada Hael untuk dinyanyikan dan komposer Edry Abdul Halim bertindak sebagai penebit.
“Saya meletak harapan lagu ini mendapat perhatian pendengar dan disiarkan radio,” katanya.
Kagum dengan kejayaan adik bongsunya, Irfan Haris, 16, pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) ini akui tidak pernah berasa disaingi Irfan.
“Saya dan Irfan, kami ada sikap yang sama iaitu sangat cerewet dalam membuat pilihan sesuatu lagu. Ini kerana kami memiliki cita rasa sama apabila penelitian terhadap melodi dan lirik adalah perkara paling diutamakan,” katanya.
Di sebalik fokus diberikan pada karier, Amira tetap tidak terlepas daripada tempias gosip liar.
Selepas didakwa rapat dengan penyanyi Khai Bahar, gadis manis berhijab ini sekali lagi dikaitkan dengan seorang komposer muda.
Tiada angin bertiup, tiba-tiba Amira didakwa rapat dengan penyanyi dan komposer baru meningkat naik, Ippo Hafiz, 28.
Amira dalam penjelasannya memberitahu dia kurang selesa apabila mudah dikaitkan dengan lelaki.
Ujarnya, sebagai gadis dengan imej berhijab adalah perkara yang kurang manis jika namanya dipalit gosip liar.
“Buat masa ini, saya belum terfikir untuk menjalin hubungan cinta. Fokus saya ialah memantapkan karier lebih dulu,” katanya.