
BANGKOK, THAILAND – Kerajaan Thailand digesa oleh pekerja seks dan karaoke untuk memberikan bantuan wang tunai kepada mereka kerana pendapatan terjejas selepas pihak berkuasa mengarahkan penutupan aktiviti karaoke dan rumah urut bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Memetik laporan portal berita Coconut.co, gesaaan dan tuntutan dibuat oleh hampir 20 individu dipercayai pekerja seks dan karaoke yang mana mereka telah berkumpul di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan di Bangkok dengan menyusun kasut tumit tinggi di atas jalan serta menggantung seluar dalam pada pagar bangunan itu sebagai tanda protes.
Kumpulan itu menuntut pampasan sebanyak 5,000 baht (RM648) sebulan untuk setiap seorang selepas tempat kerja mereka diarahkan tutup sejak beberapa bulan lalu.
Menurut seorang pekerja terbabit, Sirisak Chaited, kerajaan Thailand perlu memberikan layanan sama rata kepada pekerja seks di negara itu sama seperti pekerja sektor lain.
“Memandangkan perdagangan seks menjadi tarikan pelancong luar dan membawa masuk pendapatan yang lumayan kepada negara, kami layak menerima pampasan daripada kerajaan, terutamanya ketika waktu krisis sebegini…
“Kami ialah penduduk Thailand dan menjana pendapatan kepada kerajaan. Tolong terima kenyataan bahawa aktiviti pelacuran wujud di negara ini dan ia mempunyai nilai sama seperti kerjaya lain,” katanya.