KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatatkan angka 1,002 KES baharu positif COVID-19 kelmarin (Ahad) dengan daerah Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing menyumbang angka tertinggi iaitu 171 kes baharu.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun memaklumkan aktiviti kunjung-mengunjung dalam kalangan jiran tetangga sempena sambutan Aidiladha bulan lalu menyebabkan angka kes semakin meningkat dan turut mencetuskan kluster baharu.
Menurutnya, Kluster Tembidong-Bidong itu dikesan selepas seorang wanita disahkan positif COVID-19 di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan pada 19 Julai lalu.
Katanya, kes indeks berumur 55 tahun itu dirujuk ke hospital berkenaan selepas mengalami gejala batuk dan sesak nafas ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Nangoh, Beluran pada 17 Julai.
“Turut dikesan positif ialah suami kes indeks menerusi ujian RTK-Antigen pada hari sama, diikuti 18 kes hasil saringan kontak rapat pada 21 Julai lalu…
“Setakat hari ini, daripada 292 individu yang disaring, sebanyak 88 kes positif COVID-19 direkodkan merangkumi 78 kes termasuk 31 kes baharu di Telupid dan 10 kes termasuk empat kes baharu di Beluran,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata satu lagi kluster dilaporkan di Keningau kelmarin adalah membabitkan jangkitan di tempat kerja.
Katanya, jangkitan dipercayai berpunca daripada pergaulan antara penghuni rumah sewa yang padat di Jalan Patikang Ulu.
Kluster Jalan Patikang Ulu itu, katanya, dikesan selepas seorang kerani lelaki berumur 19 tahun di sebuah syarikat bengkel dan servis jentera berat dikesan positif COVID-19 ketika menjalani ujian bergejala pada 29 Julai lalu.
“Pada hari sama, satu lagi kes positif dikesan membabitkan kontak rapat kepada kes indeks…
“Saringan kontak rapat di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau dan klinik swasta mengesan 12 lagi kes positif pada 30 Julai,” katanya.
Sehingga kini, katanya kluster itu merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 17 kes termasuk tiga kes baharu di Mukim Patikang dan Lingkudau, Keningau.
Secara keseluruhan, Sabah kelmarin (Ahad) masih mencatat kes baharu empat angka dengan jumlah 1,002 kes yang mana majoritinya berpunca daripada saringan kontak rapat yang menyumbang 591 kes atau 59 peratus daripada jumlah kes harian.






