Pengisian Guru Sabah Capai 98.22 Peratus, Majoriti Anak Tempatan

Pengisian Guru Sabah Capai 98.22 Peratus, Majoriti Anak Tempatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) memaklumkan bahawa tahap pengisian guru di Sabah telah mencapai 98.22 peratus, sekali gus memastikan kelancaran operasi sekolah di seluruh negeri.

SPP memaklumkan perkara tersebut dalam satu sesi taklimat kepada Menteri di Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Datuk James Ratib ketika mengadakan kunjungan hormat kementerian itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali bersama pegawai kanan kementerian.

Dalam pada itu, James menerusi satu kenyataan berkata, lebih membanggakan, 86.75 peratus daripada jumlah tersebut merupakan anak Sabah, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa bakat tempatan serta membina kekuatan sumber manusia pendidikan dari dalam negeri sendiri.

“Perkembangan ini mencerminkan keberkesanan penyelarasan dasar serta komitmen berterusan antara Kerajaan Negeri dan pihak SPP dalam memastikan keperluan tenaga pengajar sentiasa mencukupi dan berkualiti.

“Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek pengurusan perkhidmatan pendidikan, termasuk pelantikan dan penempatan guru serta keperluan memperkukuh bidang-bidang kritikal yang menyokong agenda sains, teknologi dan inovasi Sabah,” katanya.

Penekanan terhadap pembangunan bakat tempatan dan penguasaan bidang strategik dilihat sebagai langkah penting dalam menyediakan generasi masa depan Sabah yang lebih berdaya saing.

SPP menegaskan komitmen untuk terus menyokong keperluan Sabah melalui pengurusan sumber manusia pendidikan yang efisien dan responsif.

Lawatan ini turut memperkukuh penyelarasan antara peringkat Persekutuan dan negeri, demi memastikan sistem pendidikan Sabah terus maju, inklusif dan relevan dengan keperluan semasa.