KOTA KINABALU, SABAH – Seorang pejalan kaki maut dilanggar penunggang motosikal dalam kejadian langgar lari di Jalan Lintas, berhampiran lampu isyarat Puspakom, di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa berusia 40-an tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik.
Kematian mangsa berpunca dari kecederaan parah di bahagian kepala.
Siasatan polis mendapati mangsa sedang melintas jalan dari tempat kerjanya dalam kejadian 8.10 pagi itu…
SabahNews difahamkan bahawa mangsa merupakan pekerja kilang baja di kawasan berhampiran Kolombong dan dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.
Beliau turut dikatakan mempunyai tujuh cahaya mata perempuan…
Dalam satu rakaman ‘dashcam’ yang tular petang semalam, mangsa dan penunggang motorsikal terbabit tercampak ekoran pertembungan terbabit.
Walaubagaimanapun, penunggang motosikal itu berjaya melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Polis menggesa mana-mana saksi untuk tampil membantu siasatan,” tegas Zaidi sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





