ARAU, PERLIS – Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi parlimen Arau atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kenyataan tersebut menamatkan spekulasi yang timbul selepas Barisan Nasional (BN) menggugurkannya sebagai calon parti berkenaan.
Shahidan berkata beliau percaya PN adalah platform yang tepat untuk menyatukan UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
“Saya akan bertanding sebagai calon gabungan yang boleh menyatukan UMNO, PAS dan Bersatu. Kita berkongsi perjuangan bersama untuk bangsa, agama dan negara,” katanya pada sidang media di pusat khidmat kawasan parlimen Arau di sini hari ini.
Ketua Umno Bahagian Arau itu berkata partinya juga memperjuangkan bangsa, agama dan negara, tetapi ketika ini ia dipimpin oleh seseorang yang telah mengkhianati bahagian UMNO, khususnya bahagian Arau.
“Kalau kita lihat kriteria untuk menjadi seorang pemimpin, saya rasa dia tidak layak kerana saya sudah lima kali menjadi pengarah pilihan raya dan kita tidak pernah mengganggu bahagian…
“Tengoklah calon yang diletakkan kali ini. Tidak boleh diterima tiada seorang pun daripada (lima) calon yang dicadangkan bahagian itu dipilih,” ujarnya.
Sebelum sidang media itu, pengerusi PN Perlis yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli dilihat berada di pusat khidmat itu, seterusnya mencetuskan spekulasi bahawa bekas menteri besar itu akan bertanding sebagai calon PN.