Vokalis Kumpulan Screen, Gmie Meninggal Dunia

Vokalis Kumpulan Screen, Gmie Meninggal Dunia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Screen, Gmie meninggal dunia kira-kira jam 2.30 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Allahyarham Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim, 50, dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang berlubang.

Menurut anak Allahyarham, Siti Hadirah, beberapa hari sebelum ini, ayahnya kurang sihat dan hilang selera makan.

Bahkan, kata Siti Hadirah, Allahyarham juga pengsan di rumah sebelum keluarga menghubungi ambulans.

“Abah pengsan sebab kekurangan darah. Keluarga buat keputusan bawa Allahyarham ke hospital. Semasa dirawat di hospital, keadaan abah stabil dan kami sempat juga membuat panggilan video.

“Bagaimanapun, dalam pukul 1.30 pagi tadi, doktor menghubungi kami memaklumkan abah kritikal sebelum abah menghembuskan nafas terakhir,” ujar Siti Hadirah.

Berita ini dukacita berkenaan turut disampaikan oleh kumpulan rock 90-an, Lestari menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi mereka.

“Salam Jumaat. Belasungkawa, dimaklumkan sahabat kami Hajmi Bin Ibrahim aka Gmie Screen telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi jam 2:30 pagi, 10 Disember 2021, 6 Jamadilawal 1443H di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor.

“Jenazah akan dikebumikan pagi ini di Kampung Medan Sijangkang. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman,” tulis pengendali akaun terbabit.

Untuk rekod, Gmie menempa nama sebagai antara penyanyi terbaik negara menerusi kumpulan Screen yang masyhur dengan lagu ‘Bila Cinta Didusta’.

Allahyarham pernah menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga terbitan Astro pada 2016.