KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya kehilangan khidmat pemain sayap utama mereka iaitu Akhyar Rashid selepas dia disahkan positif jangkitan COVID-19 ketika ujian calitan dilakukan sebelum mengharungi aksi Kumpulan B bertemu Laos semalam.
Perkara itu disahkan oleh ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe bagi menjawab status ketiadaan Akhyar dalam skuad utama ketika pasukan skuag bola sepak negara menewaskan Laos 4-0 di Stadium Bishan, Singapura malam tadi.
“Akhyar telah disahkan positif COVID-19 dan tidak dapat diturunkan pada aksi kali ini. Kami harap dia dapat pulih untuk membantu pasukan secepat mungkin,” kata Cheng Hoe pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Terdahulu, dua pemain negara Faisal Halim dan penjaga gol, Khairulazhan Khalid terlebih dahulu dipaksa menjalani kuarantin apabila disahkan positif COVID-19 pada Ahad lepas.
Ketiadaan Akhyar dijangka memberi impak besar buat jentera serangan negara menjelang aksi ketiga Kumpulan B bertemu Vietnam pada Ahad ini.
Sebelum ini pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk membantu skuad negara menang 3-1 ke atas Kemboja pada saingan pembukaan Isnin lepas sehingga diberikan anugerah pemain terbaik perlawanan.





