KOTA KINABALU, SABAH – Cadangan Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Sabah, Noraini Idris, sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini petang tadi.
Lantikan tersebut adalah bagi mengisi kekosongan penyandang jawatan tersebut iaitu Datuk Donald Peter Mojuntin sebagai Senator yang tamat tempoh perkhidmatannya pada hari ini.
Cadangan itu dibuat oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dikemukakan melalui sebuah kenyataan bertulis yang telahpun ditandatangani calon untuk mengangkat tugas berkenaan mulai esok.
Seramai 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah bersetuju dengan lantikan terbabit manakala 14 tidak hadir dan enam (6) berkecuali.
Noraini, yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang memulakan karier politik beliau pada masa penubuhan Puteri UMNO di Sabah pada tahun 2001.
Pada tahun 2002, beliau dilantik menjadi Setiausaha Puteri UMNO Sabah dan pernah menjawat jawatan Exco Puteri UMNO Malaysia bermula tahun 2004 dan Ketua Puteri UMNO bahagian Penampang bermula tahun 2003.
Berasal dari Daerah Penampang, wanita berbangsa Kadazan itu seorang graduan undang-undang yang telah diterima dan didaftarkan sebagai Peguam di Mahkamah Tinggi Sabah Dan Sarawak pada tahun 1994.
Beliau juga telah berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara selama 27 tahun di Sabah di mana beliau menimba pengalaman dalam mengendalikan kes-kes sivil di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan pembangunan hartanah korporat dan komersial serta perbankan kewangan.
Noraini mempunyai firma guaman sendiri yang ditubuhkan pada tahun 2003 bersama rakan kongsinya iaitu firma guaman Alamin Idris and Associates.
Beliau kini berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Sains Teknologi & Inovasi Sabah dengan mempunyai pengalaman yang luas dalam politik.
Selain daripada itu, beliau juga aktif dalam beberapa pertubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wanita seperti SIKK (Soroptimist International Club of KK) dan sekarang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa induk dalam Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS).