20,000 Ayam Terbakar Dalam Kebakaran Kandang di Kg Rampayan Ulu, Kota Belud

20,000 Ayam Terbakar Dalam Kebakaran Kandang di Kg Rampayan Ulu, Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Sebuah kandang ayam separuh kekal musnah hampir keseluruhan dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Rampayan Ulu petang kelmarin.

Kejadian kebakaran tersebut telah menyebabkan kira-kira 20,000 ekor ayam terkorban.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.34 tengah hari melalui talian MERS999.

Sebuah jentera FRT dan unit EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud dengan kekuatan 11 anggota segera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 31 kilometer dari balai.

Menurut Komander Operasi, Farhad Abdullah, pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada jam 1.18 petang dan mendapati kandang ayam tersebut yang berkeluasan 360 x 50 kaki persegi telah terbakar hampir 95 peratus.

“Kami menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air, yang disalurkan dari jentera serta tangki simpanan di lokasi untuk memadam kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.56 petang dan tamat sepenuhnya pada 2.00 petang selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan bagi memastikan tiada lagi risiko kebakaran atau bahaya lain di lokasi.

Tiada mangsa cedera atau terlibat dalam kejadian tersebut. Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan dan jumlah kerugian sedang dinilai.

Turut hadir di lokasi ialah Komander Operasi Kanan, Elgie Bakuk yang mengetuai koordinasi operasi pemadaman.