Anak Watan Kota Marudu Sekolahkan Ketua Bahagian PKR Atas Tuduhan “Daerah Termiskin”

Anak Watan Kota Marudu Sekolahkan Ketua Bahagian PKR Atas Tuduhan “Daerah Termiskin”

0
SHARE
Christoper Mandut...

KOTA KINABALU, SABAH – Kebiasannya lebih mudah untuk mengkritik daripada dikritik, demikian yang disifatkan Christoper Mandut dengan menegur kenyataan Ketua Bahagian PKR Kota Marudu, Sazalye Donol.

“Sebelum mula berbicara tentang orang lain, seseorang harus terlebih dahulu mencermin tindakan mereka sendiri,” katanya bahawa Sazalye hanya pandai berbicara dan mengkritik tetapi lupa melihat kelemahan parti dan pemimpinnya sendiri.

Christopher mempersoalkan Sazalye mengenai sumbangan PKR dan juga dari dirinya sendiri terhadap pembangunan Sabah, khususnya di daerah Kota Marudu.

“Sebenarnya, saya percaya kemiskinan semakin teruk selama dua tahun mereka berkuasa, dan hampir tidak ada pembangunan di Kota Marudu dalam tempoh itu yang dapat mereka banggakan,” katanya.

Christopher, yang merupakan Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, menasihati Sazalye untuk berhenti menjadi boneka yang digunakan untuk mengkritik dan menuding jari bagi menyalahkan orang lain atas kegagalan mereka sendiri.

Ketua Bahagian PKR Kota Marudu, Sazalye Donol dalam satu kenyataan mempersoalkan daerah Kota Marudu termiskin di Malaysia…(Sumber Foto: FMT)

“Sebagai seseorang yang dilahir dan dibesarkan di Kota Marudu, saya percaya bahawa saya adalah orang terbaik untuk mengatakan bahawa daerah ini telah berkembang pesat selama ini…

“Kota Marudu adalah sebuah bandar yang berkembang, dan mengikuti bandar-bandar maju di Sabah, dan sebenarnya, jauh lebih baik daripada beberapa di negeri ini.

“Ya, kita tidak akan malu untuk mengakui bahawa masih ada ruang untuk penambahbaikan, tetapi Kota Marudu berkembang secara progresif.

“Kemiskinan ketara di kawasan bukit Kota Marudu seperti di Sonsogon, Gana dan Magandai, tetapi kawasan bandar kita dapat bersaing dengan yang lain seperti Penampang dan Papar.

“Bandar kami berkembang maju. Kota Marudu mempunyai hampir 50,000 ekar kelapa sawit, pertanian, dan ladang padi kami adalah yang kedua terbesar di Sabah selepas Kota Belud,” katanya.

Christopher juga menanya Sazalye apa yang telah dilakukan oleh PKR selama dua tahun mereka berkuasa dimana mereka hampir tiada mengagihkan zink bagi memperbaiki rumah penduduk.

“Saya percaya, Ahli Parlimen kita telah melakukan banyak hal untuk Kota Marudu. Di Matunggong sahaja, 22 rumah panjang telah dibina, dan dua lagi akan datang. Apa yang PKR pernah lakukan untuk Kota Marudu?

“Sebenarnya selama pilihan raya lalu, mereka (PKR) banyak berbicara tetapi pada akhirnya, selepas diundi, mereka tidak melakukan apa-apa kerana mereka kalah teruk.

“Oleh itu, jangan salahkan orang lain jika anda tidak tahu apa-apa tentang diri anda,” katanya lagi.